Adam sering sebut ingin jumpa ibu sebelum ‘pergi’ - Utusan Malaysia

Adam sering sebut ingin jumpa ibu sebelum ‘pergi’

ADAM AMSYAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Kerap menyebut ingin­ berjumpa ibunya yang sudah meninggal dunia rupa-rupanya menjadi petanda Mohd. Adam Amsyar Abdul Rahman yang mempunyai jantung terbalik atau ‘Mitral Valve Atresia’ akan pergi buat selama-lamanya.­

Kanak-kanak itu pernah tular dalam media sosial kira-kira dua tahun lalu kerana berhasrat mengunjungi Taman Tema Legoland tetapi keluarganya kurang mampu.

Impian tersebut kemudiannya tertunai apabila Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menaja kunju­ngannya bersama-sama keluarga ke destinasi popular itu.

Bapanya, Abdul Rahman Rahmad, 49, berkata, Adam dimasukkan ke Hospital Pontian empat hari lalu selepas me­ngalami sesak nafas, namun disahkan meninggal dunia pada malam kelmarin.

“Ketika menerima rawatan di hospital, Adam kerap sebut hendak jumpa ibunya, Rafeah Sarijo. Ibunya sudah me­ninggal dunia tahun lalu akibat penyakit kencing manis dan buah pinggang.

“Adam menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 10.30 malam Selasa. Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Haji Ahmad pada pagi semalam,” katanya kepada Utusan Malaysia.

ABDUL Rahman Rahmad dan anaknya, Erin Nadia mengunjungi pusara Allahyarham Adam Amsyar di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Haji Ahmad, Ayer Baloi, Pontian.

Abdul Rahman memberitahu, Adam yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik sempat memakai baju Melayu berwarna merah dan menjamah rendang ayam pada pagi Aidiladha, baru-baru ini.

“Adam seronok dapat pakai baju raya dan makan sedikit rendang ayam yang saya beli. Saya gembira melihat wajah Adam yang tersenyum meskipun bergantung pada oksigen untuk bernafas.

“Adam juga kerap bercerita pengalamannya bertemu TMJ, bermain di Taman Tema Legoland dan melawat Stadium Sultan Ibrahim. Pengalaman indah tidak dapat dilupakan,” katanya.

Menurut Abdul Rahman yang turut menghidap asma, pendi­dikan anak sulungnya, Erin Nadia, 13, kini menjadi keutamaan dan mahu anaknya itu berjaya dalam pelajaran.

“Erin sangat rapat dengan Adam dan sentiasa menjaganya. Saya merancang untuk menghantar Erin ke sekolah tahfiz di Benut,” katanya yang mencari rezeki dengan mengambil upah memotong rumput di sekitar Kampung Sanglang, dekat sini.

Dia turut berterima kasih kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), orang perseorangan dan agensi kerajaan termasuk Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang sentiasa memberi bantuan kepada Adam dan keluarganya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya