KUALA NERUS: Gol penyamaan minit-minit akhir memaksa Terengganu FC (TFC) seri 1-1 dengan Negeri Sembilan dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini, sebentar tadi.
Keputusan itu meletakkan TFC kekal di tempat keenam mengumpul 26 mata manakala Negeri Sembilan di tangga kesembilan dengan 22 mata daripada 18 perlawanan.
TFC terlebih dahulu dicemaskan seawal minit keenam apabila pelawat dihadiahkan sepakan penalti mujur penjaga gol, Mohd. Suhaimi Husin, dapat membaca sepakan diambil Herold Goulon.
Dua minit kemudian giliran Sang Penyu menguji kubu lawan menyaksikan tandukan Nurillo Tukhtasinov berpunca hantaran lintang Arif Fadzillah Abu Bakar tinggi melepasi sasaran.
Nurillo yang membuat penampilan kedua bersama TFC nyaris membuka akaun jaringan minit ke-26 namun rembatan kencangnya dari luar kotak melencong ke sebelah kanan penjaga gol.
Penjaga gol Negeri Sembilan, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman terus bekerja keras menepis percubaan berturut-turut Habib Haroon pada minit ke-41 dan kedudukan 0-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung babak kedua, TFC meningkatkan tekanan melalui percubaan Arif Fadzillah (m-50) dan Nik Sharif Haseefy Mohd. Lazim (m-51) yang tersasar dari pintu gol.
Gol dicari-cari Sang Penyu akhirnya menjelma minit minit ke-67 selepas Ivan Mamut menanduk kemas umpanan Sony Norde dari jarak dekat untuk menceriakan lebih 5,000 penyokong TFC.
Penyerang kelahiran Croatia itu hampir menggandakan kedudukan malangnya mensia-siakan situasi satu lawan satu berdepan Sikh Izhan Nazrel yang lebih tangkas minit ke-78.
Ketika kemenangan semakin hampir milik TFC, Goulon (m-89) mengikat jaringan menerusi tandukan selepas menyambar sepakan penjuru Mahali Jasuli dan kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat. – UTUSAN