PETALING JAYA: Sebanyak 615 kuarters, balai polis dan pos Pasukan Gerakan Am (PGA) yang usang akan dinaik taraf menerusi peruntukan berjumlah RM95 juta yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin.
Antara masalah yang membelenggu anggota dan pegawai antaranya tandas tersumbat, siling bocor, pintu rosak dan bahan binaan rosak sehingga ada kayu yang reput.
Keadaan itu turut memaksa penghuni terlibat menanggung kos penyelenggaraan dan pembaikan sendiri jika tidak mahu kerosakan berlarutan untuk tempoh lama.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain berkata, penambahan peruntukan yang diumumkan Anwar dilihat wajar dalam usaha meningkatkan keselesaan anggota dan pegawai polis.
Katanya, sebanyak 464 balai, kuarters, berek serta lain-lain aset di seluruh negara yang terlibat diberi tumpuan untuk diselenggara serta dinaik taraf.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 231 unit aset berada dalam tahap serius keadaan usangnya.
“Peruntukan itu juga akan digunakan bagi menaik taraf sebanyak 151 pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) terutamanya di Sabah, Sarawak, Kelantan dan Selangor,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Dalam pada itu. Razarudin melahirkan penghargaan tinggi terhadap keprihatinan kerajaan dalam hal berkaitan kebajikan warga polis.
“Penambahan peruntukan ini dilihat dapat memperkasakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama dalam menjalankan tugas ketika menjaga keselamatan negara,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Bekas Pesara Polis, Mokhtar Omar berkata, penyelenggaran dan baik pulih kuarters anggota dan pegawai itu perlu dibuat seiring dengan perubahan zaman dan cabaran polis kini.
“Isu kuarters dan balai usang sudah lama membelenggu PDRM. Selain itu, penambaikan logistik polis juga amat penting dan perlu diberi penekanan seperti penggunaan dron, kamera badan serta lain-lain.
“Cabaran tugas polis kini semakin kompleks dengan perubahan arus teknologi yang semakin canggih. Setiap peruntukan yang disediakan kerajaan juga perlu berubah, bukan di takuk lama,” katanya.
Setakat 28 Februari lalu, jumlah kekuatan anggota dan pegawai polis di seluruh negara adalah seramai 134,978 orang.
Kerajaan kelmarin mengumumkan peruntukan berjumlah RM150 juta bagi tujuan penyelenggaraan dan naik taraf infrastruktur di bawah PDRM serta Jabatan Penjara di seluruh negara.
Perdana Menteri berkata, jumlah itu adalah tambahan kepada peruntukan pembangunan berjumlah RM200 juta yang disalurkan melalui Belanjawan 2023 untuk penyelenggaraan fasiliti kuarters beberapa agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, peruntukan tambahan RM150 juta terbabit dirancang disalurkan tahun hadapan, namun beliau menyegerakannya selepas melihat sendiri dan menilai laporan mengenai keadaan fasiliti serta infrastruktur terbabit.
Katanya, untuk kerja-kerja penyelenggaraan kuarters PDRM termasuk ibu pejabat, beliau meluluskan peruntukan berjumlah RM50 juta manakala RM45 juta lagi diluluskan khusus untuk penambahan dan naik taraf serta perolehan peralatan pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA).
“Saya luluskan RM45 juta bagi PGA itu segera dan apabila saya kata segera, maknanya hari Isnin ini wang mesti disalurkan dan saya akan bincang dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi mempercepatkan projek terbabit.
“Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM) itu pula tempat orang bertarung nyawa tetapi pejabat sementaranya hanya rumah kedai dan berselerak. Jadi saya luluskan RM40 juta untuk infrastruktur dan fasiliti berkaitan ESSCOM,” katanya.
Anwar berkata, kali terakhir projek perumahan secara besar-besaran sebegini diteliti ketika beliau menjadi Menteri Kewangan dahulu. – UTUSAN










