GEORGE TOWN: Polis menahan tiga lelaki warga tempatan kerana disyaki menyeksa dan menzalimi seekor anjing sehingga mati di Kampung Teluk Tempoyak, Batu Maung di sini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, tiga lelaki berusia 40 hingga 53 tahun itu ditahan antara pukul 11.45 malam semalam hingga pukul 1 pagi hari ini di sekitar Batu Maung.
Jelas beliau, kesemua suspek yang bekerja sebagai ejen kargo, nelayan dan pemandu bas itu direman selama tiga hari sehingga Rabu ini untuk siasatan lanjut.
“Ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan saringan air kencing mereka juga didapati bebas daripada dadah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sebelum ini, tular video di laman sosial Twitter yang memaparkan dua lelaki bertindak memukul anjing tersebut menggunakan batang kayu.
Menerusi ciapan di laman sosial tersebut, difahamkan anjing tersebut dilanggar motosikal berkenaan ketika melintas jalan di kawasan tersebut yang agak gelap dan suram.
Menurut Kok Chin, kes disiasat di bawah Seksyen 29 (1) Akta Kebajikan Haiwan 2015.
”Pihak polis akan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang mendera atau memukul binatang tanpa alasan yang munasabah. Orang ramai juga diingatkan supaya tidak menularkan video berkenaan,” katanya. – UTUSAN