Wira Op Daulat kini terlantar - Utusan Malaysia

Wira Op Daulat kini terlantar

MOHD. Yusri Hassan Basri (tiga dari kiri) menziarahi Zulkiflli Abd Aziz pada lawatan kebajikan pesara PDRM di Hospital Teluk Intan hari ini. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Bekas Ketua Staf Perisikan Pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang terlibat dalam misi risikan semasa Op Daulat di Lahad Datu, Sabah kini terlantar akibat serangan angin ahmar dan berada dalam keadaan kritikal.

Difahamkan, Senior Asisten Komisioner (B) Zulkiflli Abd Aziz, 64, merupakan penggerak utama dalam menyalurkan maklumat mengenai aktiviti penyelinapan pengganas Sulu kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kini beliau dirawat di Hospital Teluk Intan di sini.

Keadaannya lemah dan bergantung kepada alat bantu pernafasan.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri yang melawat Zulkifli hari ini berkata, pesara polis itu ditemukan terbaring tidak sedarkan diri di rumahnya di Sungai Manik, dekat sini pada 1 Jun lalu dan dihantar ke Hospital Teluk Intan bagi menerima rawatan.

Menurutnya, Zulkiflli memulakan perkhidmatan di Bahagian Cawangan Khas sehingga jawatan terakhirnya sebagai Ketua Staf Perisikan ESSCOM sebelum bersara wajib empat tahun lalu.

Beliau berkata, sepanjang tempoh dalam Cawangan Khas, Zulkiflli banyak membantu dalam Op Daulat semasa kemasukan pengganas Sulu di Lahad Datu.

“Beliau menyalurkan maklumat-maklunat risikan bagi kegunaan pasukan gempur, ini termasuk maklumat serangan dan pengesanan ahli-ahli pengganas Sulu yang menyelinap masuk ke Sabah.

“Beliau adalah penggerak utama, beliau adalah ‘unsung hero’ yang membantu pihak PDRM untuk mengesan dan menangkap pengganas Sulu sehingga ada yang sudah ditangkap dan dijatuhkan hukuman,” katanya.

Beliau ditemui pemberita semasa lawatan kebajikan pesara PDRM di Hospital Teluk Intan hari ini.

Turut hadir Ketua Cawangan Khas Perak, Datuk Shazeli Kahar dan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya