Wanita Malaysia hilang mangsa pemerdagangan manusia

Wanita Malaysia hilang di Thailand dipercayai jadi mangsa pemerdagangan di Myanmar

CHOY Won menunjukkan gambar anak perempuannya yang dipercayai hilang di Thailand dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat DAP Johor, Kulai hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI : Ibu kepada wanita yang dilaporkan hilang di Chiang Mai, Thailand, Chee Choy Won tidak menolak kemungkinan anak perempuannya itu menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar.

Choy Won, 50, percaya perkara itu berlaku setelah mengadakan pertemuan dengan pihak polis di daerah Mae Sai di wilayah Chiang Rai, Bangkok, Rabu lalu.

Wanita itu berkata, walaupun dia menerima panggilan telefon daripada anaknya, Chong Sum Yee, 22, sekitar 8 malam mengatakan dia dalam keadaan sihat, nalurinya merasakan sebaliknya.

“Saya cuba menghubunginya Angie malam tadi namun tidak berjawab. Tidak lama kemudian, dia menghubungi saya semula dan mengatakan dia dalam keadaan sihat dan sangat bahagia di sana, namun suaranya kedengaran agak tertekan.

“Malah, dia turut meminta saya untuk menarik balik laporan polis yang telah dibuat sebelum ini lalu memutuskan panggilan. Selepas itu dia tidak dapat dihubungi lagi, mesej hantar melalui WhatsApp tidak dibaca,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar kehilangan anaknya di Ibu Pejabat DAP Johor di Jalan Tropika 1, Taman Tropika, di sini hari ini. Yang turut hadir ialah Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor Alan Tee Boon Tsong.

Media melaporkan Sum Yee berlepas ke Chiang Mai pada 29 Mei lalu dan mengembara ke Mae Sai yang terletak di utara Thailand, berhampiran bandar Tachilek di Myanmar, lokasi insiden pemerdagangan orang dilaporkan sebelum ini.

Sebelum ini, Sum Yee yang bekerja sebagai jurusolek di Kuala Lumpur itu dilaporkan berulang kali menyatakan ‘dia selamat dan sihat’ dalam tiga video dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook bernama ‘Moe Aye’ di ruangan komen catatan ibunya.

Terdahulu, polis Thailand berkata siasatan awal mendapati Chong telah menyeberang sempadan ke Tachilek, Myanmar sejak 30 Mei.

Ibu kepada dua anak itu berkata, anak bongsunya yang merantau seorang diri ke Thailand itu sepatutnya pulang tanahair pada Rabu lalu namun itu tidak berlaku.

Katanya, dia telah pergi ke Mae Sai setelah merasa tidak sedap hati apabila anak perempuannya gagal dihubungi sejak lima hari sebelumnya, kali terakhir dihubungi ialah pada 1 Jun lalu.

Tambahnya, pihak polis Thailand memaklumkan terdapat kemungkinan anaknya itu berada di Mynmar dan kedua-dua pihak berkuasa tersebut katanya sedang bekerjasama bagi mengesan anaknya.

“Angie beritahu dia pergi ke Thailand seorang diri atas urusan kerja namun apabila bertanyakan majikannya, dia tidak tahu mengenai perkara itu. Sejak itu Saya tidak sedap hati kerana langsung tidak dapat menghubunginya.

“Saya khuatir dengan keadaannya, dia tidak pernah melancong ke luar negara sebelum ini, apatah lagi seorang diri,” ujarnya yang memaklumkan anaknya tidak ada masalah kewangan atau masalah keluarga.-utusan

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya