Wanita hilang mungkin jadi mangsa pemerdagangan manusia

Wanita hilang mungkin jadi mangsa pemerdagangan manusia

Chee Choy Won menunjukkan gambar Chong Sum Yee yang hilang di Thailand.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Wanita Malaysia yang dilaporkan hilang di Chiang Mai, Thailand, Chong Sum Yee, 22, berkemungkinan menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar.

Ibunya, Chee Choy Won, 50, percaya perkara itu berlaku setelah dia mengadakan pertemuan dengan pihak polis di daerah Mae Sai di wilayah Chiang Rai, Bangkok, Rabu lalu.

Wanita itu berkata, walaupun dia menerima panggilan telefon daripada anaknya itu sekitar 8 malam yang mengatakan dia dalam keadaan sihat, nalurinya merasakan sebaliknya.

“Saya cuba menghubungi Angie malam tadi namun tidak berjawab. Tidak lama kemudian, dia menghubungi saya semula dan mengatakan dia dalam keadaan sihat dan sangat bahagia di sana, namun suaranya kedengaran agak tertekan.

“Malah, dia turut meminta saya untuk menarik balik laporan polis yang telah dibuat sebelum ini lalu memutuskan panggilan. Selepas itu dia tidak dapat dihubungi lagi, mesej hantar melalui WhatsApp tidak dibaca,” katanya pada sidang akhbar kehilangan anaknya di Ibu Pejabat DAP Johor di Taman Tropika, di sin, semalam.

Sum Yee dilaporkan berlepas ke Chiang Mai pada 29 Mei lalu dan mengembara ke Mae Sai yang terletak di utara Thailand, berhampiran bandar Tachilek di Myanmar.

Sebelum ini, Sum Yee yang bekerja sebagai jurusolek di Kuala Lumpur itu dilaporkan berulang kali menyatakan ‘dia selamat dan sihat’ dalam tiga video dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook bernama ‘Moe Aye’ di ruangan komen catatan ibunya.

Terdahulu, polis Thailand berkata, siasatan awal mendapati Sum Yee telah menyeberang sempadan ke Tachilek, Myanmar sejak 30 Mei.

Ibu kepada dua anak itu berkata, anak bongsunya yang merantau seorang diri ke Thailand sepatutnya pulang ke tanah air Rabu lalu namun itu tidak berlaku.

Katanya, dia telah pergi ke Mae Sai setelah merasa tidak sedap hati apabila anak perempuannya gagal dihubungi sejak lima hari dan kali terakhir dihubungi pada 1 Jun lalu.

Tambahnya, pihak polis Thailand memaklumkan terdapat kemungkinan anaknya itu berada di Myanmar dan kedua-dua pihak berkuasa tersebut sedang bekerjasama bagi mengesan anaknya.

“Angie beritahu dia pergi ke Thailand atas urusan kerja namun apabila bertanyakan majikannya, dia tidak tahu mengenai perkara itu. Sejak itu saya tidak sedap hati kerana langsung tidak dapat menghubunginya.

“Saya khuatir dengan keadaannya, dia tidak pernah melancong ke luar negara sebelum ini, apatah lagi seorang diri,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN