PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengulangi kebimbangan bahawa rokok elektronik atau vape adalah tidak selamat dan boleh membawa kepada kecederaan paru-paru.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, vape juga bukan satu kaedah alternatif untuk berhenti merokok kerana penggunaan rokok elektronik terbukti mendatangkan kemudaratan kepada penggunanya.
“Bahan-bahan yang terkandung di dalam cecair rokok elektronik apabila dipanaskan akan menghasilkan bahan kimia yang boleh memberikan kesan keradangan kepada lapisan paru-paru dan menyebabkan penyakit paru-paru.
“Sehingga Jun lalu, KKM menerima 17 kes berkaitan, justeru, KKM memohon semua pengamal perubatan agar terus membuat notifikasi kepada pihak KKM sekiranya mana-mana pesakit dikesan menghidap masalah berkaitan,” katanya menerusi kenyataan akhbar semalam.
Katanya, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 mencatatkan peningkatan penggunaan rokok elektronik dalam kalangan remaja berumur 13 sehingga 17 tahun iaitu dari 9.8 peratus pada tahun 2017 kepada 14.9 peratus pada tahun 2022.
Dr. Muhammad Radzi berkata, peningkatan yang ketara turut berlaku dalam kalangan remaja perempuan iaitu dari 2.8 peratus pada tahun 2017 meningkat kepada 6.2 peratus pada tahun 2022.
Selain itu, katanya, KKM juga memulakan aktiviti pemantauan penyakit berkaitan penggunaan rokok elektronik melalui Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan berkaitan keperluan notifikasi bermula Jun 2022. – UTUSAN










