Usaha bentang RUU Kawalan Merokok tidak terhenti

Usaha bentang RUU Kawalan Merokok tidak terhenti

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Usaha Kementerian Kesihatan untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 tidak akan terhenti biarpun dirujuk semula ke Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan (JKPK) buat kali kedua.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, akta yang dirujuk ke jawatankuasa itu sudah melalui proses aturan dicadangkan Parlimen dan ia bukan prosedur yang salah.

Katanya, kementerian sudah berusaha membawa RUU itu ke Kabinet dan dipersetujui untuk pembentangan.

“Sudah tentu Kementerian Kesihatan melihat RUU itu sudah lengkap, cuma dari sesi libat urus Parlimen, ada beberapa bentuk perkara mereka minta diperhaluskan.

“Misalnya kompaun terlalu rendah RM500 berbanding RM5,000 yang dicadangkan, jadi ada saranan agar kompaun itu perlu dinaikkan.

“Jadi terserah kepada jawatankuasa itu untuk memperhalusi. RUU tidak terhenti, cuma prosesnya jawatankuasa akan melihat secara bipartisan, semua parti kerajaan dan pembangkang akan duduk bincang dan akan hantar semula untuk bacaan kali kedua,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini, kebanyakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kesihatan kecewa dengan keputusan untuk merujuk semula RUU itu ke JKPK dan menyifatkan pembentangannya sekali lagi akan ditangguhkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN