UPSI, dua lagi universiti kerjasama perkukuh Pengajian Melayu UA

UPSI, dua lagi universiti kerjasama perkukuh Pengajian Melayu UA

DR. Sabzali Musa Kahn (tiga dari kanan) dan Dr. Asyaari Muhamad (empat dari kanan) bersama-sama kakitangan Institut Peradaban Melayu UPSI di Tanjung Malim, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan dua lagi universiti, Universiti Malaya (UM ) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bekerjasama bagi memperkukuh Pengajian Melayu di Universiti Awam (UA) dengan menubuhkan Majlis Dekan Pengajian Melayu Universiti Awam.

Usaha itu bagi memastikan Pengajian Melayu terus relevan, dinamik, dan memberi sumbangan yang bermakna kepada perkembangan negara, selain memperkaya pemahaman tentang peradaban dan tamadun Melayu, serta memartabatkan kebudayaan dalam konteks global.

Pengarah Institut Peradaban Melayu UPSI, Prof. Dr. Tajul Suhaizam Said berkata, kerjasama ketiga-tiga universiti itu melibatkan pengukuhan dalam bidang pengajaran, penyelidikan, pengkormersialan dan penerbitan.

Beliau berkata, langkah itu merupakan usaha awal yang penting dalam merintis kerjasama yang lebih luas dalam bidang Pengajian Melayu.

Oleh itu, katanya, majlis tersebut diharap dapat menjadi pendorong utama dalam memperkukuhkan bidang Pengajian Melayu dan memartabatkan peradaban serta tamadun Melayu dalam konteks semasa yang semakin kompleks dan mencabar.

“Dengan kerjasama ini, bidang Peradaban dan Tamadun Melayu di UA dan diperluaskan dalam era globalisasi,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Tajul Suhaizam, kerjasama itu juga membuka lebih banyak peluang untuk memartabatkan budaya Melayu dalam era digital dan globalisasi.

“Dalam konteks ini, penggunaan teknologi digital dapat digunakan untuk memperluas jangkauan pengajaran dan pembelajaran, serta mempromosikan warisan budaya Melayu kepada masyarakat tempatan dan dunia luar,” katanya.

Terdahulu, pertemuan yang diadakan di sebuah hotel di Klang baru-baru ini menjadi langkah awal dalam merintis kerjasama yang lebih luas dengan seluruh Universiti Awam yang menawarkan pengajian dalam bidang pengajian Melayu.

Penubuhan Majlis Dekan Pengajian Melayu UA itu menandakan komitmen dalam mempertingkatkan bidang Pengajian Melayu dan memastikan kelestariannya dalam era yang semakin global ini.

Melalui Majlis Dekan Pengajian Melayu UA, pengajaran, penyelidikan, dan penerbitan dalam bidang tersebut dapat diperkukuhkan serta membuka pintu untuk perkongsian pengetahuan, pengalaman, dan sumber daya yang akan memperkaya bidang berkenaan.

Sementara itu, Dekan Akademi Pengajian Melayu UM, Prof. Madya Dr. Sabzali Musa Kahn berkata, pengajian Melayu bukan sahaja tertumpu kepada bahasa, sastera dan budaya tetapi mampu merentas disiplin ilmu yang lain seperti kejuruteraan, perubahan, dan lain-lain.

Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM, Prof. Madya Dr. Asyaari Muhamad pula berkata, kajian dalam bidang tamadun Melayu mampu menyumbang kepada pendapatan negara melalui kebudayaan, kesenian, kraftangan dan sebagainya.

“ATMA UKM misalnya bekerjasama dengan Telekung Siti Khadijah dengan mempatenkan corak telekung berdasarkan corak yang ada dalam manuskrip Melayu,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN