ALOR SETAR: Seorang lelaki ditahan kerana disyaki cuba menyeleweng minyak diesel dengan menggunakan tangki tambahan pada sebuah lori di Jalan Kubang Rotan, di sini, semalam.
Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, penahanan lelaki berusia 32 tahun itu dibuat pasukan polis marin yang melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan itu kira-kira pukul 1 pagi.
“Pemeriksaan dijalankan menemukan sejumlah minyak diesel dalam tangki fiber tambahan yang disyaki untuk diseleweng. Jumlah minyak yang ditemukan itu dianggarkan kira-kira 3,000 liter bernilai RM6,450.
“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat empat tangki fiber tambahan pada lori tersebut. Susulan itu seorang lelaki yang merupakan pemandu lori berkenaan ditahan untuk siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Affendi, pihak polis kemudiannya menyerahkan kes tersebut kepada KPDN untuk tindakan susulan.
“Lori itu serta beberapa peralatan seperti mesin pam minyak dan lima unit hos paip dirampas. Anggaran nilai rampasan keseluruhan adalah sebanyak RM39,950.” katanya.
Menurutnya, kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 21 Akta kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
“Jika disabitkan dengan kesalahan, individu terlibat boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama. Manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya, individu berkenaan boleh didenda tidak lebih RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi pertubuhan perbadanan pula, boleh didenda tidak lebih RM2 juta untuk kesalahan pertama dan RM5 juta untuk kesalahan kedua,” katanya. – UTUSAN