Ubah persepsi Tingkatan Enam

Ubah persepsi tingkatan enam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dilabel masih ‘budak sekolah’ biarpun hampir menamatkan zaman remaja menjadi antara punca Tingkatan Enam kurang mendapat sambutan dalam kalangan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurut laporan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) sebelum ini, jumlah pelajar Tingkatan Enam yang menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) mencatatkan penurunan dalam tempoh tiga tahun berturut-turut iaitu daripada 46,237 (STPM 2019) kepada 44,704 (STPM 2020) dan seterusnya 42,369 (STPM 2021).

Tidak dinafikan lulusan STPM setaraf diploma dan matrikulasi di samping peperiksaan itu tidak memerlukan pinjaman pendidikan untuk menampung yuran, namun masih ramai menganggap Tingkatan Enam sebagai saluran alternatif bagi lepasan SPM yang gagal ke pusat pengajian tinggi dan memperoleh keputusan peperiksaan tidak cemerlang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, persekitaran pembelajaran sama seperti alam sekolah merupakan antara faktor utama belia tidak berminat menyambung pelajaran ke Tingkatan Enam walaupun lepasan STPM setaraf diploma sekali gus menjamin peluang pekerjaan dan laluan ke menara gading.

Selain itu katanya, masih wujud tanggapan silibus Tingkatan Enam dianggap susah berbanding pengajian diploma memandangkan pelajar perlu menamatkan pembelajaran dalam tempoh singkat iaitu satu tahun setengah.

“Kokurikulum terlalu padat dan banyak membuatkan tidak ramai pelajar bersedia belajar sepanjang tempoh ini. Apatah lagi aliran sains Tingkatan Enam, ia seperti di universiti.

“Begitu juga dengan persijilan, STPM sepatutnya bertaraf diploma tetapi apabila digunakan untuk mencari pekerjaan, majikan lebih memilih lepasan diploma berbanding Tingkatan Enam. Pemegang diploma diberikan perhatian oleh syarikat untuk tawaran pekerjaan.

“Jadi sebab itu ramai tidak buat keputusan untuk ke Tingkatan Enam sedangkan mempunyai potensi lebih besar setelah mereka merasakan masih seperti alam persekolahan sedangkan STPM merupakan pembelajaran bertaraf prauniversiti atau persediaan ke universiti,” katanya.

Isu Tingkatan Enam mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila beliau akan membangkitkan perkara berkenaan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bagi tujuan penambahbaikan.

Ini susulan soalan seorang pelajar dalam program Temu Anwar di Universiti Malaysia Kelantan minggu lalu yang bertanya apakah langkah kerajaan untuk meningkatkan lagi minat pelajar untuk menyertai Tingkatan Enam dan menduduki peperiksaan STPM.

Justeru itu Anuar berkata, sudah tiba masanya wajah Tingkatan Enam diubah dengan imej setaraf kolej di samping menilai semula program kerana nilai pengajaran masih belum berjaya menarik lebih ramai untuk memasuki cabang laluan pendidikan tersebut.

Katanya, status taraf STPM perlu diangkatkan daripada tahap sijil kepada diploma.

“Selain itu, latihan guru perlu dipertingkatkan kerana kebanyakan mereka dalam kalangan lepasan ijazah sarjana muda. Mungkin pada masa depan, guru-guru ini perlu ada sekurang-sekurangnya mempunyai sarjana pendidikan sekali gus dapat meningkatkan keupayaan dan pendedahan anak-anak muda kepada ilmu pengetahuan.

“Kena banyak perbincangan dan diskusi dalam kelas, bukan lagi seperti di sekolah. Anak-anak ini sudah belajar lima tahun bermula Tingkatan Satu, kalau boleh mereka tidak mahu suasana STPM sama seperti sekolah,” katanya.

Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Datuk Alimuddin Mohd. Dom pula berkata, masih ramai tidak mengetahui banyak keistimewaan untuk lepasan Tingkatan Enam termasuk mempunyai laluan yang amat luas untuk memasuki mana-mana kursus pengajian di universiti berbanding pemegang diploma yang terhad kepada kursus pengajian.

Selain itu katanya, mereka tidak dibebani yuran pengajian seperti dilalui pelajar diploma di samping kos sewa kediaman sekali gus terpaksa membuat pinjaman atau memohon biasiswa pendidikan.

“Bagi lepasan SPM yang tidak berminat sambung pengajian ke IPT, mereka sekurang-kurangnya perlu meneruskan pendidikan ke STPM supaya ada laluan lebih luas sama ada peluang pekerjaan atau menara gading pada masa hadapan.

“Ramai tidak tahu suasana Tingkatan Enam telah berubah setelah kerajaan mengubah suasana pembelajaran khususnya tidak lagi memakai pakaian sekolah di samping mempunyai bangunan sendiri.

“Perkara sebegini perlu dihebahkan kepada remaja supaya tidak pandang sinis kepada laluan Tingkatan Enam agar menarik lebih ramai mereka untuk meneruskan pengajian ke tahap ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×