‘Tuduh saya bawa Islam berlebihan dalam pentadbiran pandangan haprak’ - Anwar - Utusan Malaysia

‘Tuduh saya bawa Islam berlebihan dalam pentadbiran pandangan haprak’ – Anwar

ANWAR Ibrahim merasmikan Sambutan Jubli Intan Sekolah Menengah Agama Nahdhah Hasanah di Kampung Melele, Kodiang di Kubang Pasu. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Perdana Menteri menempelak kelompok kecil yang melabel beliau bersikap Islamist atau menerapkan konsep Islam secara berlebihan dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan sebagai pandangan yang haprak.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah beliau memperluas peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang tidak hanya tertakluk kepada soal agama dan perundangan Islam bukan bertujuan seperti tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.

“Jakim sekarang di bawah pentadbiran saya sebagai Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan ini diperluas tugasnya untuk turut membicara soal ekonomi, program digital dan kurikulum pendidikan.

“Tanggungjawab itu lebih luas supaya nilai Islam diterapkan dan ini pula ditentang oleh pihak yang tidak faham dalam kalangan kelompok kecil bukan Islam sehingga menulis secara kasar kononnya Anwar sekarang mempamerkan sikap Islamist yang kukuh yang cuba diselindungi selama ini dengan mengarahkan Jakim menguasai semua sistem.

“Ini haprak punya pandangan,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Sambutan Jubli Intan Sekolah Menengah Agama Nahdhah Hasanah di Kampung Melele, Kodiang di sini hari ini.

Menurut Perdana Menteri, tuduhan yang dilemparkan segelintir orang bukan Islam itu menunjukkan mereka tidak faham kepentingan mendidik masyarakat mengenai konsep Islam sebenar.

Jelasnya, jika umat Islam tidak mendapat kefahaman dalam ajaran Islam yang tepat, adalah dibimbangi berlaku pertembungan antara masyarakat yang lebih serius pada masa hadapan.

“Saya nak bagitahu rakan-rakan bukan Islam terima kasih atas sokongan mereka tapi mereka juga harus faham yang umat Islam ini ilmunya dangkal, sikapnya itu bengis dan keras tidak akan membawa rakyat menarik dan meminati Islam.

“Maka masa depan kita lebih celaru dari segi pertarungan, pertembungan antara dua pihak ini. Jadi itu sebab mengapa saya bentuk Yayasan Karyawan dan tugas mereka adalah menerbitkan karya-karya besar (untuk membantu isu ini),” jelasnya.

Dalam pada itu Anwar berkata, beliau tidak ada masalah untuk menerima kritikan yang diberikan terhadapnya atau Kerajaan Perpaduan ketika ini tetapi mengingatkan pihak-pihak berkenaan agar tidak sampai melakukan fitnah yang jelas tidak boleh diterima.

“Saya minta sekali lagi, kalau kita hendak pertahan Islam, ada banyak lagi boleh kritik saya, saya boleh terima. Kritik kerajaan, saya boleh terima, tetapi fitnah tidak boleh.

“Ada pandangan umpamanya kalau tidak bersama parti ini bukan Ahli Sunnah Wal Jamaah, itu parah. Ustaz dan guru agama mesti tegur, janganlah kita punya ketaasuban kepada parti mengatasi ‘Al Islamu ya’lu wa laa yu’la alaih’,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya