LUMUT: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran yang berlaku terhadap sebuah kapal miliknya yang sedang menjalani rutin pasang pulih di Grade One Marine Shipyard, Kampung Acheh, Sitiawan, dekat sini, semalam.
Menurut Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Pangkalan TLDM Lumut, kebakaran Kapal Diraja (KD) Laksamana Muhammad Amin itu telah dikesan oleh petugas kapal pada pukul 9.50 pagi.
“Ia berjaya dipadamkan dalam tempoh 20 minit hasil tindakan pantas pihak kapal dengan bantuan pihak limbungan dan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Bahagian kapal yang terjejas adalah sebahagian kecil laluan utama, ruangan penginapan belakang dan ruangan simpanan peluru,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu, sesuai dengan prosedur operasi standard (SOP) TLDM, ketika kapal menjalani kerja pembaikan di limbungan, semua bahan letupan dipindahkan keluar untuk simpanan keselamatan.
Jelasnya, kapal itu juga tidak dihuni sepanjang tempoh tersebut melainkan petugas yang melaksanakan rondaan keselamatan setiap masa.
Katanya, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan besar berlaku akibat kebakaran itu manakala punca kebakaran dan taksiran kerosakan sebenar hanya boleh diketahui setelah siasatan oleh JBPM selesai.
Semalam, sebuah kapal milik TLDM yang sedang dibaiki di sebuah limbungan di kawasan perindustrian Kampung Acheh, Sitiawan, terbakar.
Kebakaran Kapal Diraja (KD) Laksamana Muhammad Amin itu didapati berlaku di bahagian bilik penyimpanan pelurunya.
Bagaimanapun, tiada peluru yang disimpan dalam bilik tersebut ketika kejadian berlaku.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.03 pagi dan api berjaya dikawal pada pukul 10.25 pagi manakala kebakaran dipadam sepenuhnya pada pukul 12 tengah hari. – UTUSAN