Tiga remaja pukul gelandangan dicekup - Utusan Malaysia

Tiga remaja pukul gelandangan dicekup

CHA HOONG FONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Tiga remaja lelaki diberkas bagi membantu siasatan kes tular memukul gelandangan dengan besi pemukul besbol di sekitar kawasan bawah jambatan dan sebuah pasar raya di Pelabuhan Klang, di sini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kesemua suspek tempatan berusia 16 tahun itu dicekup di sekitar daerah ini, bermula kira-kira pukul 3 pagi tadi dan polis turut merampas tiga telefon bimbit dan sebuah kereta jenis Proton Wira.

“Mahkamah Majistret Klang membenarkan kesemua suspek direman selama tiga hari sehingga Rabu ini. Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan arahan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, semakan polis mendapati seorang daripada suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau.

Utusan Malaysia semalam melaporkan polis sedang memburu individu yang tular memukul lelaki dipercayai gelandangan dengan besi pemukul besbol.

Dua video dikesan memaparkan empat lelaki disyaki warga tempatan menaiki sebuah kereta dan memukul mangsa.

Polis turut menerima satu laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 43 tahun berkaitan klip video sama, pukul 12.02 tengah malam semalam.

Jelas Hoong Fong siasatan awal pihaknya mendapati kes itu melibatkan tiga kejadian dan tiga mangsa berlainan. 

“Kita sedang mempergiatkan usaha mengesan semua mangsa terlibat. Selain itu, polis memburu seorang lagi suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Tambah beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu diminta menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 atau balai polis berdekatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.