KUALA LUMPUR: Tidak timbul desakan supaya DAP memohon maaf kepada UMNO berhubung semua tohmahan yang dilemparkan mereka kepada parti itu selama ini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, DAP telah berulang kali menyatakan mereka bersetuju dengan syarat ditetapkan UMNO ketika awal pembentukan Kerajaan Perpaduan.
“Perkara ini tidak perlu timbul lagi kerana mereka sudah menyatakannya beberapa kali. Malah dalam perundingan kita untuk perkara ini telah menjadi syarat utama bagi kita.
“Mereka bersetuju 100 peratus dan tidak perlu ulangi perkara yang telah dipersetujui,” katanya dalam sidang akhbar di Laman Media Perhimpunan Agung UMNO 2023 di sini, semalam.
Beliau mengulas desakan Pemuda UMNO yang mahu DAP memohon maaf kerana ketelanjuran dan tohmahan terhadap UMNO selama ini.
Menurut Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh, jika DAP sebelum ini boleh memohon maaf kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), mereka juga seharusnya berbuat demikian kepada UMNO.
Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, kebersamaan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) terbentuk atas keserasian bersama yang akhirnya menjadi pembentukan Kerajaan Perpaduan.
“Kita mempunyai prinsip penerimaan kerjasama DAP antara BN dengan PH, maka asas inilah pembentukan kerajaan sekarang ini. Jangan terbuai dengan permainan pihak-pihak yang tidak senang dengan kewujudan dan kestabilan kerajaan.
“Kerjasama ini terbentuk dengan keserasian yang semakin bertambah di peringkat akar umbi kita ada kaedah-kaedah tertentu untuk jelaskan, semasa sesi townhall sudah jelas, tidak timbul lagi dan sekali pun dalam taklimat Presiden dan malam tadi ucapan Timbalan Presiden telah berlaku pencerahan,” katanya. – UTUSAN











