Terkilan tak dapat urus jenazah ibu

Terkilan tak dapat urus jenazah ibu

KHAIRUL ANUAR RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Seorang jururawat tidak menyangka perasaan se­ring teringat ibunya di kampung semasa bertugas menjaga pesakit di Pusat Perubatan Tabung Haji di sini adalah petanda bahawa wanita itu akan pergi buat selama-lamanya.

Khairul Anuar Ramli, 38, berkata, dia menerima berita duka mengenai kematian ibunya, Kamaliah Abd. Hamid, 69, kira-kira pukul 1 pagi (waktu tempatan) Sabtu lalu melalui pesanan di aplikasi WhatsApp oleh ahli keluarga dan isterinya.

Katanya, dia tidak sempat hendak melihat mesej itu pada waktu tersebut kerana terlalu keletihan selepas tamat waktu bekerja dan terus tertidur.

“Saya hanya lihat mesej itu pada pukul 4.30 pagi ketika hendak mengerjakan solat su­buh. Dalam mesej itu isteri kata “abang kena kuatkan semangat kerana ibu sudah tiada” dan saya terus menangis.

“Pada masa sama saya terkilan kerana tak dapat hendak menguruskan jenazah ibu buat kali terakhir bersama adik-adik lain,” katanya yang berasal dari Besut, Terengganu ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Khairul Anuar, dia hanya mampu menitipkan doa buat arwah ibunya semoga rohnya diterima Allah SWT dan dimasukkan ke dalam syurga.

Mengimbau semula mengenai kejadian itu, Khairul Anuar berkata, dia dimaklumkan ketika itu ibunya muntah-muntah ketika dalam perjalanan untuk ke rumah adiknya di Ipoh, Perak.

“Sebaik sahaja sampai pada waktu malam arwah ibu muntah lagi dan adik terus membawanya ke Hospital Ipoh.

“Bagaimanapun ibu tak dapat diselamatkan apabila dia sesak nafas pada waktu subuh sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya.

Ujar Khairul Anuar, kali ter­akhir dia bertemu ibunya ialah pada Aidilfitri lalu dan wanita itu tidak dapat menghantarnya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ketika dia berangkat ke tanah suci atas faktor kesihatan dan berpesan supaya bertugas elok-elok.

“Ibu tak menunjukkan perubahan sikap ketika itu. Ketika saya maklumkan dapat jadi petugas TH dia gembira dan langsung tidak menangis.

“Saya pula yang sedih kerana terpaksa berjauhan dengannya dan ahli keluarga dalam tempoh yang agak lama,” katanya.

Menurut Khairul Anuar, walaupun terkilan kerana tidak dapat membawa ibunya ke tanah suci, dia akan menggunakan sebaiknya keberadaannya di sini untuk mendoakan arwah ibu dan ahli keluarganya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN