GERIK: Sepasang suami isteri maut manakala tiga anak mereka cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah treler di Kilometer 16.9, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, di sini hari ini.
Dalam kejadian sekitar pukul 1 petang itu, mangsa dikenali sebagai Mohamad Nasir, 51, memandu kereta jenis Perodua Myvi dan isteri, Rohaya Harun, 46, yang duduk di bahagian penumpang hadapan maut di tempat kejadian.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika lima beranak itu dalam perjalanan dari Perlis ke Kelantan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik, Mohd. Azizan Aziz berkata, sepasukan anggota dari BBP Gerik diatur gerak ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat pada pukul 1.10 petang.
Katanya, kemalangan membabitkan kereta Perodua Myvi dan sebuah treler muatan simen dipandu lelaki berusia 50 tahun.
“Terdapat enam mangsa terlibat dalam nahas itu dan dua daripada mereka disahkan maut di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
“Kedua-dua mangsa tidak tersepit, anggota membawa keluar mayat mereka dan menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada pukul 2.45 petang,” katanya. – UTUSAN










