SERDANG: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meneliti dakwaan isu Telekom Malaysia Berhad (Telekom) mengeluarkan surat untuk meminta kebenaran mengadakan rundingan terus dengan Opcom Sdn. Bhd. (Opcom) bagi pembekalan kabel fiber optik bernilai RM214.2 juta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya setakat ini tidak menerima sebarang maklumat berkaitan isu terbabit.
“Bagaimanapun sekiranya terdapat maklumat dan aduan yang mempunyai asas di bawah kesalahan rasuah, maka SPRM mempunyai asas untuk jalankan siasatan.
“Kita tidak akan teragak-agak untuk siasat perkara tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Pemerhati Rasuah Malaysia di Universiti Putra Malaysia, Serdang hari ini.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Telekom Malaysia Berhad (Telekom) mengeluarkan surat untuk meminta kebenaran mengadakan rundingan terus dengan Opcom bagi pembekalan kabel fiber optik bernilai RM214.2 juta.
Surat berkenaan dikeluarkan kepada Kementerian Kewangan pada 15 September 2003, yang mana Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu adalah Tun Dr. Mahathir Mohamad, manakala anak ketiganya, Datuk Seri Mukhriz adalah Pengarah Opcom.
Menerusi pembelaan terhadap saman difailkan Dr. Mahathir, Perdana Menteri berkata, Telekom adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mana Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) memegang satu saham khas yang memberikan MKD kuasa untuk menolak keputusan lembaga dan pemegang saham lain.
Beliau berkata, MKD pada masa itu berada di bawah kawalan dan arahan Dr Mahathir yang juga Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Katanya, Kementerian Kewangan pada 7 Oktober 2003 mengeluarkan surat untuk meluluskan permohonan Telekom untuk rundingan terus berkenaan.
“Selepas itu, rundingan terus yang berkaitan antara Telekom dan Opcom berlaku antara Oktober dan November 2003,” katanya.
Melalui satu surat award bertarikh 17 November 2003 kontrak fiber optik itu, Telekom melantik Opcom sebagai kontraktor bagi pembekalan kabel fiber optik dan perkhidmatan kejuruteraan dengan jumlah kontrak RM214.2 juta.
“Pada Jun 2004, Opcom menyerahkan hak milik, faedah dan kepentingannya dalam jumlah kontrak itu kepada Opcom Holdings Sdn Bhd yang kini dikenali sebagai Opcom Holdings Berhad.
“Pengeluaran surat Telekom bertarikh 15 September 2003, surat Kementerian Kewangan bertarikh 7 Oktober 2003 dan rundingan bagi kontrak fiber optik itu berlaku di bawah kawalan, arahan dan bidang kuasa plaintif (Dr Mahathir) ketika menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan,” katanya menerusi pembelaan itu yang difailkan firma guaman, Tetuan Thomas hilip, semalam.
Tuntutan saman difailkan Dr. Mahathir di Mahkamah Tinggi Shah Alam melalui firma guaman, Tetuan Law Practice of Rafique pada 3 Mac lalu, dengan menamakan Anwar sebagai defendan tunggal.
Dr. Mahathir mengemukakan saman fitnah itu dengan menuntut ganti rugi RM150 juta berhubung ucapan Perdana Menteri di Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: ‘Pelaksanaan Sebuah Idealisme’ pada Mac lalu. – UTUSAN