SPM 2022: Melaka catat prestasi terbaik dalam tempoh 10 tahun

SPM 2022: Melaka catat prestasi terbaik dalam tempoh 10 tahun

MOHD. GHAZALI Ahmad bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar Pengumuman Keputusan SPM 2022 di SMKA Sharifah Rodziah di Telok Mas, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Melaka mencatatkan pencapaian terbaik dalam tempoh 10 tahun bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 apabila mencatatkan gred purata negeri (GPN) sebanyak 4.77 berbanding 4.83 pada 2021.

Pengarah Pendidikan negeri, Mohd. Ghazali Ahmad berkata, pencapaian itu juga lebih tinggi daripada sasaran awal iaitu 4.81.

Menurut beliau, semua sekolah mencatat gred purata sekolah (GPS) lebih baik daripada 6.40 sekali gus membantu peningkatan GPN Melaka.

“Seramai 243 calon mendapat semua A dalam mata pelajaran yang diambil dan daripada jumlah itu seramai sembilan orang berjaya memperoleh keputusan semua A+.

“Melaka mencatatkan prestasi terbaik dalam tempoh 10 tahun dengan GPN 4.77. Sebelum keputusan ini diumumkan, kami menyasarkan GPN naik sedikit pada 4.81 memandangkan GPN negeri kekal tidak berubah pada 2.83 sejak 2019.

“Saya terharu apabila melihat 4.77 kerana angka itu menterjemahkan kerja keras warga pendidik dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) selama ini untuk memastikan kejayaan para calon dalam SPM 2022. Secara keseluruhan keputusan SPM di Melaka telah menunjukkan pencapaian membanggakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Pengumuman Keputusan SPM 2022 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sharifah Rodziah di sini, semalam.

Tambah Mohd. Ghazali, seramai 12,907 calon mendaftar untuk menduduki SPM 2022 dengan 94.2 peratus atau 10,151 calon layak mendapat sijil.

Katanya, semua mata pelajaran teras iaitu bahasa Melayu dan inggeris, matematik, sejarah, sains, pendidikan Islam serta moral mencatat peratus lulus melebihi 77 peratus.

“Bahasa Melayu dan sejarah mencatatkan jumlah lulus tertinggi iaitu sebanyak 98.19 dan 94.69 peratus. Matematik pula mencatatkan jumlah lulus terendah iaitu sebanyak 77.77 peratus.

“Sementara itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Mansor Shah di Alor Gajah mencatatkan lonjakan saujana tertinggi kepada 0.8 berbanding lebih 5.0 pada tahun lepas. Kita boleh lihat adanya usaha para guru, Pejabat Pendidikan Daerah dan jabatan untuk menaikkan prestasi sekolah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN