Sivaraj umum keluar MIC

Sivaraj umum keluar MIC

SIVARAJ CHANDRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Senator Datuk Sivaraj Chandran meletakkan jawatannya sebagai Ketua Cawangan MIC Taman Bukit Kuchai Baru dan mengisytiharkan keluar parti serta-merta berkuat kuasa hari ini.

Beliau dalam surat yang dihantar kepada Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran berkata, antara punca keputusan menyedihkan itu dibuat adalah susulan ‘beberapa peristiwa’ yang berlaku ketika berkhidmat di bawah kepemimpinan presiden.

Sivaraj berkata, beliau merasakan keputusan tersebut adalah yang terbaik untuk dirinya selepas mendakwa menjadi ancaman terhadap kepemimpinan sedia ada dalam parti.

“Walaupun berat hati saya terpaksa akur dengan pilihan ini kerana berpandangan bahawa adalah lebih baik untuk saya keluar dari MIC kerana ingin melaksanakan tanggungjawab dan tugasan sebagai seorang Ahli Dewan Negara dan pemimpin masyarakat India tanpa sebarang halangan atau sekatan daripada mana-mana pihak terutamanya kepemimpinan MIC.

“Lebih buruk lagi, saya disekat dengan pelbagai cara daripada meneruskan khidmat bakti saya kepada masyarakat dan negara. Jika perkara ini terus berpanjangan, saya lihat besar kemungkinan kelak nanti mendorong kepada perpecahan dalam kalangan ahli parti,” katanya.

Sivaraj berkata, sejak menyertai MIC hampir 20 tahun lepas, beliau yakin telah menumpukan sepenuh perhatian dan memberi komitmen cukup tinggi terhadap perjuangan parti.

Menurutnya, sepanjang berada di dalam MIC, beliau memegang jawatan sebagai Setiausaha Pergerakan Pemuda Kebangsaan, Ketua Pemuda Kebangsaan, Naib Presiden, Calon Pilihan Raya, Ahli Parlimen dan terkini sebagai seorang Ahli Dewan Negara. 

“Malangnya, beberapa peristiwa yang berlaku ketika berkhidmat di bawah kepemimpinan Tan Sri mengakibatkan saya mengambil keputusan yang cukup menyedihkan ini.

“Sejujurnya, saya tidak hendak menjadi punca parti ini terus berpecah-belah akibat perbezaan pandangan dan pendekatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×