ALOR SETAR: Kerajaan sama sekali menolak dakwaan kononnya siasatan yang dijalankan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dilakukan kerana dendam politik.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, semua pihak perlu membiarkan pihak berkuasa melaksanakan tugas mereka dahulu sebelum memberikan pelbagai komen.
Katanya, proses itu akan dilakukan mengikut tertib sebelum kertas siasatan diserah kepada Pejabat Peguam Negara untuk proses pendakwaan jika siasatan dianggap mencukupi atau dipulangkan kepada polis sekiranya tidak lengkap.
“Itu masalahnya bila kenyataan dianggap boleh timbul keresahan dibiarkan tanpa tindakan (sehingga kata) kerajaan tiada gigi, tak berani ambil tindakan. Bila polis bertindak kata tindakan politik, jadi cerita itu tak habis.
“Jadi yang berlaku kepada menteri besar satu kertas siasatan telah dibuat. Biarlah polis bertindak secara profesional, tak perlu gundah gulana dan beri kerjasama sehingga siasatan selesai.
“Yang jelas berlaku sebelum siasatan (Muhammad Sanusi kata) padam, ubah atau pinda perlembagaan. (Apabila) dipanggil polis maklumkan pula saya tak kata pinda perlembagaan. Tak perlu lah (begitu) kekal kepada satu kenyataan saja,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Negeri Kedah berkata demikian dalam sidang akhbar selepas bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Sekolah Kebangsaan (SK) Jabi di Pokok Sena.
Pada Rabu, Muhammad Sanusi memberi keterangan kepada pegawai penyiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), D5 Bukit Aman susulan kenyataannya mengenai Pulau Pinang milik Kedah dan didakwa menggesa perlembagaan.
Sementara itu, Pas menyifatkan tindakan siasatan ke atas Muhammad Sanusi sebagai episod ‘hitam’ dalam sejarah demokrasi Malaysia yang mengamalkan kebebasan bersuara.
Tambah Saifuddin, beliau percaya Muhammad Sanusi yang dikenalinya dan pernah berjuang bersama-sama dahulu mampu memberi kerjasama baik kepada proses itu.
“Kata atau tidak, gesa atau tidak biar polis siasat. Tak ada kena mengena dengan dendam politik dan sebagainya, saya tolak sama sekali dakwaan itu,” ujarnya.
Dalam pada itu, mengulas gesaan agar kerajaan mendedahkan Laporan Pasukan Petugas Khas berhubung kehilangan aktivis sosial Amri Che Mat, beliau menjelaskan perkara berkenaan dalam perhatiannya.
“Pertama keputusan mahkamah sudah dibuat kerajaan kena menyerahkan laporan siasatan, jadi Peguam Negara ambil langkah mengemukakan rayuan penangguhan terdahulu, saya akan bawa perkara ini ke peringkat atas.
“Kejadian Amri hilang bukan baharu, cuma keputusan mahkamah agar laporan siasatan didedah baharu dibuat. Jawatankuasa siasatan ditubuhkan ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad jadi Perdana Menteri, kita selesai satu per satu dahulu,” katanya. – UTUSAN