KUALA LUMPUR: Pelawak dan usahawan, Shuib Sepahtu menerima tajaan RM1.7 juta sempena majlis perkahwinannya dengan usahawan, Watie Hanifiah yang akan diadakan pada 23 Jun depan.
Perkara tersebut dimaklumkan Shuib dalam sidang akhbar di Astro Bukit Jalil, semalam.
“Nilai tersebut merangkumi set barang kemas tajaan Siti Jewels selain busana dan lokasi perkahwinan yang ditaja pihak lain.
“Majlis tersebut akan berjalan sederhana. Cuma saya mahukan pelamin pada majlis akad nikah itu nanti agar keluarga kedua-dua belah pihak dapat merakamkan gambar bersama,”katanya.
Shuib atau nama sebenarnya Shamira Muhammad, 38, sebelum ini mendirikan rumah tangga dengan penyanyi, Siti Sarah Raisuddin yang meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 akibat Covid-19.
Mereka dikurniakan empat cahaya mata termasuk Uwais Alqarni, Dzahira Talita Zahra, Ayash Affan dan Ariq Matin.
Namun, selepas lebih dua tahun menduda, Shuib akhirnya mengikat tali pertunangan dengan Watie pada 6 Mei lalu.
Dalam pada itu, Shuib memaklumkan tidak akan mengadakan majlis resepsi pada majlis perkahwinannya nanti.
“Ia akan diisi dengan sesi khatam Al-Quran, berinai dan akad nikah. Atas persetujuan kedua-dua belah pihak, kami memutuskan untuk tidak mengadakan majlis resepsi.
“Watie berstatus anak dara dan ini adalah perkahwinan pertamanya. Jadi, saya mahu perkahwinan ini menjadi satu kenangan indah buatnya. Kami mahu raikan semua orang terutama keluarga kami,” ujarnya. – UTUSAN










