Semakan kehakiman ibu bapa Beng Hock didengar hakim baharu

Semakan kehakiman ibu bapa Teoh Beng Hock didengar hakim baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Permohonan semakan kehakiman oleh ibu bapa mendiang Teoh Beng Hock bagi mendapatkan perintah agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) melengkapkan siasatan berhubung kematian anak mereka hampir 14 tahun lalu akan didengar di hadapan hakim baharu.

Ia selepas Hakim Datuk Amarjeet Singh menarik diri daripada mendengar kes berkenaan.

“Hakim Amarjeet Singh telah menarik diri daripada mendengar kes kerana beliau pernah terlibat dalam Suruhanjaya Siasatan (RCI) bagi menyiasat kematian Teoh Beng Hock,” kata Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly yang responden dalam permohonan itu.

Turut hadir pada prosiding hari ini ialah peguam, Sangeet Kaur dan Simranjit Kaur bagi pihak ibu bapa mendiang, Teoh Leong Hwee, 75, dan isterinya, Teng Shuw Hoi, 70.

Pada 26 Januari 2011, RCI bagi menyiasat punca kematian bekas pembantu khas seorang anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor itu ditubuhkan yang mana Hakim Amarjeet yang pada ketika itu merupakan Timbalan Ketua Bahagian Guaman I, Jabatan Peguam Negara dilantik sebagai pegawai pengendali suruhanjaya itu.

Leong Hwee dan Shuw Hoi memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 4 Januari 2022 dengan menamakan Ketua Polis Negara, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, PDRM dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga keempat.

Selepas hakim tersebut menarik diri, kes didengar di hadapan Timbalan Pendaftar, Firdaus Sidqi Sharil Azli yang kemudian menetapkan pengurusan kes itu pada 10 Julai ini.

Kes akan didengar di hadapan Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Pada 16 Jun tahun lepas, pasangan itu memperoleh kebenaran mahkamah untuk memulakan semakan kehakiman.

Pasangan itu memohon deklarasi bahawa kegagalan responden pertama, kedua dan ketiga untuk melengkapkan siasatan berhubung kematian anak mereka dalam jangka masa munasabah telah melanggar Seksyen 20(3) Akta Polis 1967.

Beng Hock ditemukan mati pada 16 Julai 2009 di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 bangunan sama.

Pada masa kematiannya, Beng Hock adalah pembantu politik kepada Exco Selangor dan Adun DAP Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah.

Pada 5 Januari 2011, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Beng Hock pada 2009 bukan disebabkan membunuh diri atau dibunuh serta mendapati tiada pihak ketiga terlibat dalam kematiannya.

Pada 21 Julai 2011, Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kematian Beng Hock memutuskan bahawa kematiannya akibat membunuh diri.

Bagaimanapun, pada 5 September 2014, Mahkamah Rayuan menukar keputusan terbuka dalam kes kematian Beng Hock dan memutuskan bahawa kematiannya akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya