Selangor mahu wujud laluan rel Klang - Sabak Bernam - Utusan Malaysia

Selangor mahu wujud laluan rel Klang – Sabak Bernam

Laluan rel
AMIRUDIN Shari (dua, kanan) bersama Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Selangor berhasrat mewujudkan rangkaian laluan rel yang menghubungkan kawasan utara negeri itu secara keseluruhan melibatkan daerah seperti Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Ini kerana, ketika ini kawasan utara yang mempunyai kemudahan tersebut adalah Hulu Selangor apabila terdapat laluan bagi komuter dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sedang dalam pembinaan.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ketika ini kerajaan negeri sedang menggalakkan pergerakan pengangkutan awam bersaiz kecil atau micro vehicle bagi menghubungkan rakyat antara kawasan.

“Ini mungkin perkara yang boleh dirangka, paling tidak buat based (dasar) dahulu, supaya keterhubungan ini akan menjimatkan dan suatu masa nanti orang boleh tinggal di Sabak Bernam tetapi bekerja di Shah Alam.

“Sebenarnya Selangor di kawasan utara, kita belum lagi dihubungkan sepenuhnya dengan rangkaian kereta api. Rangkaian jalan raya sudah ada. Tetapi bermula dari Klang sampai ke Kuala Selangor dan Sabak Bernam, belum dihubungkan dengan rel,” katanya ketika berucap pada Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), hari ini.

Sebelum itu dalam ucapan sama, beliau memaklumkan disamping RMK-12, Selangor mempunyai Rancangan Selangor 1 (RS1) yang menggariskan empat teras dalam melaksanakan kesemua 262 projek sehingga 2025.

Teras tersebut adalah pembangunan ekonomi, kelestarian alam sekitar, pengagihan yang adil kepada rakyat dan kerajaan pintar.

“Pada 9 Jun nanti kita melancarkan Sabak Bernam Development Area (Sabda), bulan Ramadan lalu kita lancarkan Pembangunan Bersepadu Wilayah Selangor Selatan (IDRISS). 

“Selangor Maritime Gateway (SMG) adalah ketersambungan perancangan pada 2009 dan 2010 oleh Menteri Besar ketika itu untuk membangunkan di sepanjang persisir Sungai Klang sebagai kawasan pembangunan baharu,” ujarnya.

Jelas Amirudin lagi, kemudahan pengangkutan awam yang lengkap juga memenuhi teras RS1 yang menumpukan kepada matlamat bandar rendah karbon dengan migrasi daripada penggunaan kenderaan persendirian kepada pengangkutan awam secara lebih optimum.

“Kerajaan negeri seiring dengan seluruh rakyat Malaysia akan bersama-sama berganding bahu memastikan pertumbuhan ekonomi negara kekal mampan serta pengagihan kekayaan dibuat secara telus, adil dan saksama.

“Justeru, kerjasama erat antara kerajaan negeri dengan Kementerian Ekonomi sangat diperlukan bagi memastikan kejayaan Rancangan Selangor Pertama dan RMK-12,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya