PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah, Datuk Seri Eizlan Yusof yakin penyertaannya ke dalam Pas sebagai wadah terbaik untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini.
Eizlan, 51,berkata, dia juga yakin dengan prinsip yang diperjuangkan Pas dalam membela dan menegakkan hak orang Islam serta Melayu.
“Saya sertai Pas kerana percaya perjuangan yang dibawa parti ini bukan sekadar retorik dan Pas bukan seperti yang digembar-gemburkan pihak lawan.
“Malah selama saya bersama Tan Sri Annuar Musa di dalam Muafakat Nasional (MN). Saya melihat kesungguhan beliau mahu menyatupadukan rakyat serta memperjuangkan Islam dan Melayu tanpa mengetepikan perbezaan agama dan kaum,” katanya.
Kelmarin, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan penyertaan Eizlan semasa Ceramah Perdana Gelombang Kebangkitan Rakyat Negeri Sembilan di Senawang, Negeri Sembilan.
Pada majlis sama, Takiyuddin turut mengumumkan penyertaan Pengerusi MN dan bekas Ahli Parlimen Ketereh, Annuar Musa sebagai ahli Pas.
Selaku Ketua Penerangan MN Selangor, Eizlan mengakui pengalaman politik lebih 50 tahun Annuar memberi inspirasi untuk dirinya bersama tokoh politik itu.
Sebelum ini, beliau dilaporkan mengunci mulut dan enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan bakal menyertai Perikatan Nasional (PN) di bawah tiket Pas.
Perkara itu timbul apabila beliau kerap muncul bersama beberapa tokoh politik daripada PN dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), MN terutama Pengerusinya, Annuar.
Selain Eizlan dan Annuar, Pas turut menerima keahlian baharu lebih 3,000 orang dari seluruh negara, termasuk bekas Setiausaha Sulit Kementerian Luar, Datuk Fyzal Fauzy; pendakwah selebriti, PU Raihan dan Dayangku Intan. – UTUSAN










