PETALING JAYA: Kesemua 74 ahli Parlimen pembangkang bersedia menyokong usul Rang Undang-Undang Generasi Penamat (GEG) demi kepentingan rakyat dan kesejahteraan generasi masa depan, sekali gus melihatkan RUU tersebut berpotensi diluluskan secara bipartisan.
Bagaimanapun, penambahbaikan yang dibuat oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Kesihatan perlu menepati kehendak kem pembangkang yang sebelum ini sudah pun bersetuju dengan usul RUU yang dibawa oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Hulu Terengganu daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Rosol Wahid berkata, pembangkang tiada masalah untuk menyokong usul tersebut memandangkan ia sesuatu yang baik untuk rakyat Malaysia.
Bahkan menurutnya, usul yang dibawa oleh Khairy pada tahun lalu sudah pun dipersetujui oleh pihaknya yang ketika itu berada di blok kerajaan.
“Isunya sekarang kerajaan membuat beberapa penambahbaikan terhadap usul asal. Jadi kita tunggu pembentangan dan bahaskannya dahulu,” katanya ketika dihubungi.
Kelmarin, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa memaklumkan RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023, atau dikenali sebagai RUU Generasi Penamat (GEG), sekali lagi dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Kesihatan.
Beliau berkata, anggota PSC, Ahli Parlimen, badan profesional dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah menuntut beberapa perkara di bawah rang undang-undang itu dikaji semula semasa sesi libat urus minggu lepas.
“RUU ini penting, sokongan tidak berbelah bahagi daripada semua pihak, oleh itu KKM cadangkan RUU ini dirujuk kepada PSC Kesihatan bagi penelitian lanjut,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Pas pada dasarnya menyokong RUU tersebut seperti yang dibawa oleh Khairy pada tahun lalu, oleh demikian pihaknya mahu meneliti terlebih dahulu penambahbaikan dibawa kerajaan hari ini.
“Kita tengok dulu apa butiran yang dibawakan. Pas secara kasarnya tiada masalah dengan usul yang dibawakan Khairy sebelum ini,” katanya.
Memaklumkan pendapat sama, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, pihaknya mahu RUU tersebut dibahaskan terlebih dahulu.
Bagaimanapun ketika ditanya jika penambahbaikan dibuat menepati kehendak Bersatu, adakah RUU tersebut akan disokong, beliau bersetuju dengan kenyataan berkenaan.
“Ya,” katanya ringkas.
Antara lain, RUU Generasi Penamat yang dicadangkan tersebut bertujuan mengharamkan penggunaan, pembelian dan penjualan rokok dan produk vape kepada mereka yang dilahirkan selepas 2007.
Sementara itu, Pakar Perlembagaan Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, tiada alasan untuk 222 ahli Parlimen tidak menyokong undang-undang tersebut.
Jelasnya, walaupun pada dasarnya kerajaan hanya memerlukan sokongan 112 ahli Parlimen untuk membolehkan sesuatu usul dibawa diluluskan namun, RUU tersebut membabitkan kesihatan awam seluruh rakyat.
“Ketika ini, perbincangan di peringkat jawatankuasa pemilih amat penting untuk mendapatkan pandangan semua pihak termasuk pembangkang supaya mereka turut memberi sokongan kepada usul tersebut.
“Tiada sebab untuk pembangkang menolak usul tersebut kerana saya pasti majoriti rakyat sendiri menyokong RUU berkenaan dilaksanakan,” katanya.
Tegas beliau, sebagai warganegara yang bertanggungjawab untuk menjayakan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat, semua ahli Parlimen termasuk kem pembangkang perlu menyokongnya.
“Dalam jangka masa panjang, RUU tersebut boleh mengurangkan penyakit membabitkan rokok dan mengurangkan kos perbelanjaan kerajaan untuk mengubati penyakit berkenaan,” katanya. – UTUSAN










