KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor masih membayangkan kelibat suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika memberikan ucapan sebagai Presiden parti pada setiap kali Perhimpunan Agung UMNO.
Malah beliau juga masih merindui memori bersama Najib yang sentiasa tekun menyiapkan ucapan dasar sebagai Presiden parti.
“Kadangkala saya juga membayangkan ketika beliau menjadi Presiden bagaimana dia duduk di atas itu nak cakap apa lagi nak cakap. Apa lagi dia patut buat kepada ahli UMNO, orang Melayu dan negara.
“Saya nak beritahu dia selalu fikirkan rakyat dan negara kadangkala saya masuk kereta dengan dan beliau tanya apa yang rakyat dan negara tak cukup lagi,” katanya ketika ditemui di pekarangan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.
Mengulas solidariti ditonjolkan ahli UMNO, Rosmah amat terharu dengan sokongan diberikan dan berasakan mereka amat menghayati perjuangan dan berharap suaminya dapat keluar penjara secepat mungkin.
Beliau memahami dalam hati mereka selama ini mereka tahu bahawa Najib tidak mendapat perbicaraan yang adil.
“Jadi semalam adalah satu manifestasi di pihak mereka apabila mereka kata kita inginkan Datuk Najib mendapat keadilan dan dan saya ingin ucapkan ribuan terima kasih.
“Mereka yang memperjuangkan keadilan di negara ini bukan saja untuk Datuk Najib tetapi untuk semua orang dalam negara ini,” katanya. – UTUSAN