SHAH ALAM: Kemampuan Kerajaan Perpaduan ketika ini menangani kemelut ekonomi dan kejatuhan nilai matawang ringgit antara isu dibangkitkan dalam Konvensyen Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Selangor 2023, hari ini.
Naib Pengerusi PN Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi dalam ucapannya berkata, kerajaan pada hari ini terutama di peringkat Persekutuan gagal mengotakan setiap perkara diungkapkan ketika menjadi pembangkang.
“Dulu dia (Pakatan Harapan) kata bila ringgit jatuh, kata angkara pimpinan tidak pandai urus negara dan negeri. Hari ini ringgit kita melonjak ke? Melonjak ringgit kita tuan-tuan, melonjak jahanam Kerajaan tidak pandai urus negara.
“Inilah realitinya, ada menteri ekonomi kata ringgit bagus untuk rakyat dan negara kita. Bagus untuk kita jatuhkan kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN). Sekiranya kita diberikan mandat, kita akan meletakkan kerajaan yang progresif di Selangor,” katanya, hari ini.
Dalam ucapan sama, beliau turut membangkitkan olahan skim Peduli Rakyat dan 20 meter pad air pecuma yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Menurutnya, olahan skim tersebut menyebabkan jumlah yang diterima rakyat semakin berkurang termasuk pemberian air percuma kepada golongan sasar tidak mencapai matlamat.
“Pemberian air percuma dahulu tak ada seorang pun yang tak dapat. Tetapi apa jadi apabila kerajaan pada hari ini menjajarkan semula untuk memberikan kepada B40, satu perancangan yang baik, tetapi apabila saya bangkitkan dalam DUN, berapa jumlah meter individu yang dapat, tak sampai 50 peratus.
“Skim usia emas, RM2,500 dahulu kita berikan kepada mereka, kemudian dijajarkan kepada RM100 setiap kali ulang tahun. Selepas bantahan, hanya dikembalikan sebagai RM500, namun berdepan pelbagai kerenah birokrasi,” tegasnya. – UTUSAN










