SHAH ALAM: Kerajaan dianggap lemah selepas nilai mata wang ringgit terus mencatatkan penurunan sehingga menghampiri RM4.68 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Ketua Pemuda Perikatan Nasional, Ahmad Fadhli Shaari berkata, beliau membangkitkan kedudukan nilai ringgit ketika ini apabila menyifatkannya sebagai menghampiri nilai ‘Menu Rahmah’ (RM5).
“Kalau undi berterusan undi PH akan beri kedudukan selesa kepada mereka ketika rakyat sedang berdepan kemelut ekonomi Ringgit malaysia pada hari ini, semakin hampir dengan nilai ‘Rahmah’,” katanya ketika berucap dalam Konvensyen Pilihan Raya PN Selangor 2023, hari ini.
Justeru, beliau menyeru pengundi khususnya di Selangor untuk menilai dengan teliti prestasi tujuh bulan Kerajaan Perpaduan sebelum membuat keputusan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut memperkenalkan ‘ehsan’ untuk dijadikan panduan kepada jentera PN din negeri ini bagi mendekati pengundi dan memastikan penerangan sampai ke peringkat akar umbi.
“Yang pertama, ‘E’ engage dengan semua pengundi di kesemua 56 DUN. Pujuk ahli UMNO kalau tak mahu tinggalkan parti pun, tetapi undilah PN. ‘H’ hidupkan markas dan bilik gerakan untuk menggerakkan kempen walaupun belum ada bendera lagi. ‘S’ sabar dengan kerenah akar umbi, kita turun sebagai PN bukan atas nama mana-mana parti.
“Kemudian ‘A’, angkat nama PN, kalau kalau bertanding secara berseorangan tidak mampu untuk meraih kepercayaan rakyat dan ‘N’ niat yang betul maksudnya tidak ada mana-mana pihak atau individu bertanding menaikkan nama diri sendiri,” jelasnya. – UTUSAN










