Rayuan petisyen pilihan raya Putrajaya, Gua Musang 19 Jun

Rayuan petisyen pilihan raya Putrajaya, Gua Musang 19 Jun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rayuan petisyen pilihan raya bagi Parlimen Putrajaya dan Gua Musang akan didengar di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya pada 19 Jun ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam, Amin Othman ketika dihubungi media selepas pengurusan kes itu di hadapan Timbalan Pendaftar, Faezahnoor Hassan yang dijalankan secara dalam talian.

Pada prosiding tersebut, Amin mewakili Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim dan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Sementara itu, peguam, Yusfarizal Yusoff yang mewakili Ahli PArlimen Putrajaya, Mohd. Radzi Jidin dan Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Azizi Abu Naim ketika dihubungi media turut mengesahkan perkara sama.

Pada 10 Mac lalu, Mahkamah Pilihan Raya membatalkan petisyen Ahmad Faisal selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan oleh Radzi selaku responden setelah berpuas hati petisyen itu cacat dan tidak mengandungi fakta dan butiran lengkap.

Ahmad Faisal, 50, memfailkan petisyen itu pada 26 Januari lalu dalam usaha membatalkan kemenangan Radzi, 46, atas dakwaan bekas Menteri Pendidikan itu memberi sogokan berjumlah RM150 kepada pengundi berdaftar di kawasan berkenaan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Mohd. Radzi memenangi kerusi Parlimen Putrajaya dengan undian  16,002 sekaligus mengalahkan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang hanya memperolehi 13,692 undian.

Pada 26 Februari, Mahkamah Pilihan Raya Kota Bharu membatalkan petisyen yang difailkan oengundi Parlimen Gua Musang, Mohd. Azmi Mahmood yang mewakili calon pilihan raya, Tengku Razaleigh Hamzah.

Pada PRU15 lalu, Tengku Razaleigh gagal mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang untuk kali ke-12 apabila tewas kepada Mohd Azizi yang diumum menang dengan majoriti tipis 163 undi.

Mohd Azizi memperoleh 21,826 undi, manakala Tengku Razaleigh pula mendapat 21,663 undi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN