PETALING JAYA: Rakyat Malaysia antara 2,714 mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan, buruh paksa dan tahanan salah yang diselamatkan semasa operasi serbuan ke atas pengendali permainan luar pesisir Filipina atau POGO oleh Polis Filipina.
Menurut Kementerian Luar Negeri, pihak kementerian melalui Kedutaan Besar Malaysia di Manila sedang giat mengenal pasti dan mengesahkan status 134 mangsa yang dipercayai warganegara Malaysia dalam serbuan itu.
“Kedutaan Besar Malaysia di Manila mengesahkan pihak berkuasa tempatan Filipina telah membuat serbuan ke atas syarikat Xinchuang Network Technology Inc. dan telah berjaya menyelamatkan mangsa-mangsa sindiket jenayah tersebut.
“Ia terdiri daripada rakyat pelbagai negara termasuk Malaysia.
“Mangsa-mangsa yang dipercayai warganegara Malaysia akan menjalani proses siasatan, dokumentasi dan deportasi ke Malaysia dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan semalam.
Jelas Wisma Putra, sebarang maklumat terkini berkaitan perkara itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – UTUSAN