KUALA LUMPUR: Penerbit, Datuk Yusof Haslam, 69, tetap menganggap Puteri Sarah Liyana seperti anaknya sendiri walaupun jodoh pelakon wanita itu bersama anaknya, Syamsul Yusof tidak berpanjangan.
Walaupun Puteri Sarah atau nama penuhnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, sah bercerai secara rasmi kelmarin, namun Yusof dan isterinya, Datin Patimah Ismail tetap akan mengekalkan hubungan baik dengan pelakon itu.
“Walau apapun yang berlaku, hubungan antara mentua dan menantu tetap terikat. Sarah tetap kami anggap macam menantu.
“Malah, hubungan dengan besan kami juga tidak akan putus kerana anak Syamsul dan Sarah adalah cucu-cucu kami,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Lega apabila proses perceraian berjalan dengan baik, Yusof berharap Syamsul akan dapat menunaikan tanggungjawab sebagai seorang bapa yang baik kepada Syaikhul, 6, dan Summayah, 4, selepas ini.
“Saya rasa lega kerana mereka bercerai dengan cara baik demi anak-anak. Bagaimanapun, saya harap Syamsul bertanggungjawab pada anak-anaknya. Saya berharap mereka tidak lagi menaruh sebarang dendam.
“Saya juga berharap agar mereka berdua dapat bersihkan hati dan jiwa dalam melayari kehidupan masing-masing.
“Hidup perlu diteruskan, jangan menoleh ke belakang lagi. Sebaliknya carilah kebahagiaan masing-masing,” katanya.
Yusof juga memilih mengunci mulut selepas ditanya adakah dia dan isteri bersedia untuk bertemu menantu barunya, Ira Kazar selepas ini. – UTUSAN