ALOR GAJAH: Keadaan ekonomi yang belum pulih sepenuhnya dan program korban luar negara yang lebih murah menjadi antara punca kemerosotan permintaan lembu tempatan untuk ibadah korban tahun ini.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, pemilik Ladang Fidlot Azfanur Enterprise, Siti Nur Fatimah Azman, 30, berkata, dia hanya menerima tempahan sebanyak 100 ekor lembu pada tahun ini berbanding 150 ekor tahun lalu.
Katanya, kebanyakan tempahan itu diterima daripada syarikat swasta, kerajaan negeri dan syarikat milik kerajaan (GLC) negeri.
“Permintaan lembu korban merosot pada tahun ini berikutan kelembapan ekonomi termasuk kuasa beli rakyat yang semakin terhad. Tahun lalu permintaan lembu didorong oleh kebenaran pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Impak tersebut turut dirasai penternak lain sehingga menjejaskan perniagaan mereka. Ada antara mereka yang terpaksa menutup terus operasi ladang dan menjual semua ternakan kerana tidak mampu mendapat pulangan modal.
“Selain itu, kami juga terpaksa bersaing dengan program korban di luar negara yang menawarkan harga jauh lebih murah,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, mengenai permintaan lembu sado yang turut dibela di ladangnya, Siti Nur Fatimah berkata, setakat ini belum ada tempahan untuk baka berkenaan susulan harganya yang mahal berbanding lembu biasa.
Menurutnya, ramai yang berminat untuk membeli namun tidak meneruskan pembelian setelah dimaklumkan tentang harga.
“Ada yang bertanyakan harga, apabila saya beritahu, mereka kata mahal. Pembeli kena faham harga lembu sado memang mahal iaitu antara RM10,000 hingga RM15,000 untuk berat 600 kilogram (kg) ke atas berbanding lembu baka Brahman yang berharga RM8,000 untuk berat 300 hingga 400 kg.
“Tahun lepas saya jual seekor lembu sado untuk korban yang berharga RM25,000 dengan berat 1,200 kg. Harga lembu sado di Malaysia masih mahal kerana bakanya tidak banyak, tetapi harganya lebih murah di luar negara seperti Thailand dan Indonesia,” ujarnya yang menternak baka Limousine, Charolais dan Blue Belga. – UTUSAN










