PRN: Rundingan PH-BN di Pulau Pinang selesai

PRN: Rundingan PH-BN di Pulau Pinang selesai, tunggu keputusan Majlis Presiden

PRN
CHOW Kon Yeow melakukan gimik pelancaran dengan memandu jengkaut pada Majlis Pecah Tanah Dewan MPKK Perai di Taman Senangin, Perai, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dijangka bertemu Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak 27 Jun ini bagi memaklumkan mengenai cadangan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) keesokan harinya iaitu pada 28 Jun.

Kon Yeow berkata, ketika ini, segala persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk rundingan melibatkan pengagihan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) juga telah selesai sepenuhnya.

Beliau yang Pengerusi PH Pulau Pinang berkata, keputusan muktamad mengenai perkara tersebut bagaimanapun hanya akan ditentukan di peringkat Majlis Presiden PH.

“(Jadi) saya pun tak pasti (mengenai keputusan Majlis Presiden PH). Kita pun menunggu seperti anda (wartawan),” katanya ketika ditemui pada Majlis Pecah Tanah Dewan Majlis Pembangunan dan Keselamatam Kampung (MPKK) Perai di Taman Senangin, Perai, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan berkata, meskipun pembubaran DUN dijangka dibuat hujung bulan ini, namun beberapa projek atau program yang belum selesai di bawah seliaan kerajaan negeri akan tetap diteruskan.

“Memang tak mungkin kalau kita katakan selesai sebab ia satu proses. Proses perancangan, keputusan serta pelaksanaan sesuatu pengurusan projek itu tidak bergantung kepada pilihan raya pun,” katanya yang mengambil contoh Rancangan Malaysia iaitu rancangan lima tahun pembangunan dalam membangunkan satu-satu projek.

Terdahulu, dalam perkembangan berasingan, Kon Yeow mengumumkan mengenai kerja-kerja pembaikan serta penggantian Dewan MPKK Perai yang kini telah melebihi usia tiga dekad serta dianggap sebagai antara dewan orang ramai paling lama dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri (Kadun) Perai ketika ini.

Beliau berkata, dengan peruntukan sebanyak RM2 juta, kerja-kerja awalan untuk pemulihan dewan usang itu telah dimulakan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah (PDTSPT) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri dan kini sedang dalam peringkat untuk memuktamadkan tender.

“Kerajaan negeri konsisten dalam aspek penyediaan kemudahan infrastruktur awam yang selesa, selamat dan komprehensif kepada rakyat.

“Dalam hal ini, kita akan sentiasa memantau dewan-dewan ini dari semasa ke semasa bagi memastikan ia berada dalam keadaan baik serta boleh digunakan untuk pelbagai kegiatan dan aktiviti kemasyarakatan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN