PRN: Muda diminta pertimbang semula keputusan bertanding solo - Utusan Malaysia

PRN: Muda diminta pertimbang semula keputusan bertanding solo

SHAMSUL Iskandar Md Akin (lima dari kiri) bersama penerima serahan lembu korban Parlimen Tambun sempena Hari Raya AidilAdha di Manjoi, Ipoh. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) diminta mempertimbangkan semula keputusannya untuk bertanding solo di enam negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Setiausaha Politik Kanan Kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin berkata, ini kerana Muda merupakan parti yang menyokong Kerajaan Perpaduan.

“Keputusan Muda perlu dihormati oleh semua pimpinan namun saya harap Presiden Muda akan mempertimbangkan keputusan itu kerana Muda sebahagian daripada parti yang menyokong Kerajaan Perpaduan.

“Sebab itu kita minta supaya pertimbangkan semula kerana (parti) Kerajaan Perpaduan akan bertanding dalam PRN,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada program penyerahan lembu korban Parlimen Tambun sempena Hari Raya AidilAdha di sini hari ini.

Sebelum ini, Muda mengumumkan akan bertanding PRN di enam negeri atas kekuatan parti mereka sendiri tanpa bergabung dengan parti-parti politik yang besar.

Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, keputusan untuk bertanding secara bersendirian itu dibuat selepas mendapat sokongan daripada ahlinya sebelum ini.

Mengulas lanjut mengenai PRN, Shamsul Iskandar yang juga bekas Ketua Penerangan PKR Pusat yakin pengundi semakin rasional dan mahukan kerajaan negeri yang selaras dengan kerajaan Persekutuan.

Katanya, parti Kerajaan Perpaduan serius dalam perkara itu apabila meletakkan calon di semua kerusi DUN.

“Kita ambil contoh Kelantan, walaupun Kelantan merupakan satu negeri yang agak sukar tetapi Perdana Menteri atas nama ihsan memperlihatkan kepedulian beliau kepada rakyat yang berdepan isu air dan sebagainya tetap dihulurkan bantuan.

“Bayangkan kalau kerajaan negeri Kelantan itu selaras dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Sementara itu, mengenai dakwaan Kerajaan Perpaduan tidak stabil, Shamsul Iskandar berkata, komen sedemikian datangnya daripada mereka yang tidak suka kepada cara Perdana Menteri dan cuba membina persepsi kerajaan sekarang tidak stabil.

Katanya, namun harus dilihat kepada fakta terhadap kerajaan yang mendapat sokongan 148 Ahli Parlimen, yang memberikan isyarat bahawa Kerajaan Perpaduan mendapat sokongan dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat.

“Kritikan sebagai provokasi ini mempunyai tujuan kerana PRN semakin hampir, jadi saya harap pengundi di enam negeri membuat satu keputusan yang tepat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya