PRN: Jangan jadikan isu pemilikan tanah Melayu modal politik

PRN: Jangan jadikan isu pemilikan tanah Melayu Pulau Pinang modal politik

AHMAD ZAKIYUDDIN Abdul Rahman (kanan) pada Majlis Jamuan Makan Malam Tiga Tahun Khaira Ummah 2030, di Kepala Batas, Pulau Pinang malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Kerajaan Negeri Pulau Pinang mempunyai keupayaan dan kredibiliti tersendiri dalam menangani isu pemilikan tanah Bumiputera di Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, isu tersebut bukan baharu, sekali gus tidak perlu dijadikan modal politik pihak tertentu untuk meraih undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Tak perlu dijadikan isu pilihan raya, (sebab) kita ada Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang serta agensi terlibat yang sedang melakukan pelbagai usaha dalam memperkasa sosio ekonomi dan modal insan Bumiputera di Pulau Pinang.

“Malah, saya percaya ada usaha ke arah itu sedang dilakukan (pihak kerajaan negeri) dari semasa ke semasa,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Jamuan Makan Malam Tiga Tahun Khaira Ummah 2030, di sini malam tadi.

Ahmad Zakiyuddin yang juga Naib Pengerusi PKR negeri berkata, pihaknya juga tidak hairan jika ada pihak tertentu cuba membangkitkan semula beberapa isu negatif melibatkan negeri Pulau Pinang semata-mata ingin meraih sokongan rakyat pada PRN kelak.

“(Pihak) yang bangkitkan sentimen pengundi ini antaranya isu sempadan, isu tanah, isu pencemaran, di mana isu-isu tersebut dibangkitkan semula (menjelang PRN). Padahal fakta yang sebenarnya semua orang (sudah) tahu,” katanya yang juga merupakan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Beliau mengulas dakwaan di media sosial ketika ini kononnya Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu belajar dari sejarah Palestin mengenai pemilikan Zionis Yahudi ke atas tanah milik rakyat Palestin.

Menerusi video yang tular itu yang didakwa didalangi parti politik tertentu mendakwa langkah Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam menukar status tanah luar bandar kepada bandar, melaksanakan projek mega dan pembangunan mewah adalah disifatkan sebagai ‘rampasan bersistem’ dalam mengambil alih pemilikan dan menguasai kawasan yang asalnya majoriti Melayu-Islam.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zakiyuddin menyeru orang ramai memeriahkan Expo Kampung KU2030 yang akan diadakan di Masjid Abdullah Fahim dekat sini, bermula 16 hingga 18 Jun ini.

“Pelbagai acara komuniti akan diadakan antaranya pameran agensi kerajaan Persekutuan dan negeri, gerai jualan, pasar Coop, aktiviti permainan untuk kanak-kanak, remaja dan dewasa selain turut disediakan temuduga kerjaya,” katanya yang menambah, sasaran pengunjung ke program selama tiga hari itu dianggarkan 10,000 orang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN