PRK Kuala Terengganu? Pas yakin dapat majoriti besar

PRK Kuala Terengganu? Pas yakin dapat majoriti besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas tidak mempunyai masalah untuk berdepan dengan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu jika Mahkamah Persekutuan menolak rayuan pembatalan kemenangan kerusi parti itu.

Malah Setiausaha Majlis Syu­ra Ulama Pas, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh ketika dihubungi Utusan Malaysia melahirkan keyakinan parti itu boleh memperoleh majoriti undi lebih tinggi daripada sebelum ini.

“Kita tiada masalah dari sudut pilihan raya semula (di Parlimen Kuala Terengganu), nanti Pas akan dapat majoriti lagi besar.

“Cuma perbicaraan yang dibawa ke mahkamah itu, bagi saya ada satu perkara tidak berapa munasabah iaitu isu dikatakan ada sogokan.

“Isunya perkara itu bukan daripada calon atau wakil calon, jadi kalau (dilakukan) orang lain, maka payah kita mahu kawal. Tetapi, apa-apa pun mahkamah sudah buat keputusan, terima sahaja,” katanya di sini.

Semalam akhbar ini me­laporkan, Pas hilang satu kerusi Parlimen selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Datuk Ahmad Amzad Hashim selepas mendapati wujud unsur rasuah dan sogokan ketika kempen di Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun mahkamah membenarkan ­penangguhan keputusan selama 14 hari bagi membolehkan responden mem­buat rayuan dan memfailkan permohonan rasmi pergantu­ngan responden sebagai Ahli Parlimen.

Susulan itu, Ahmad Amzad dilapor akan memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Persekutuan berhubung pembatalan kemenangannya itu.

Peguamnya, Wan Rohimi Wan Daud berkata, pihaknya akan membuat permohonan rasmi untuk menggantung keputusan mahkamah supaya PRK tidak diadakan sehingga rayuan diputuskan oleh mahkamah dalam tempoh enam bulan.

Pada PRU15 lepas, Ahmad Amzad menang di Parlimen Kuala Terengganu dengan perbezaan majoriti 40,907 undi berbanding calon parti lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN