PN mampu cipta kejutan di Selangor

PN mampu cipta kejutan di Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERIKATAN Nasional (PN) mampu membuat kejutan di Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi, atas faktor-faktor yang dikenal pasti memberi kelebihan kepada calon-calonnya untuk menguasai sebahagian daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Antara faktor tersebut adalah pengaruhnya terhadap pengundi-pengundi muda berusia bawah 30 tahun yang sebelum ini menjadi tunjang kepada jumlah undi yang boleh membawa kemenangan mereka di 14 kawasan DUN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Meskipun lebih enam bulan pilihan raya peringkat Parlimen berlalu, situasi tersebut masih dapat dilihat menerusi kempen-kempen awalnya seperti di Kompleks Pas Tanjong Karang dan Telok Panglima Garang.

Dalam kempen itu, dianggarkan lebih 10,000 hadir di Tanjong Karang dalam siri pertama Jelajah Selangor Baharu PN bagi peringkat negeri sementara di Telok Panglima Garang pula, pelancaran jentera peringkat Parlimen Kuala Langat menerima kehadiran hampir 3,000 penyokong.

Berbanding Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (BN-PH), gabungan itu berdepan kesulitan berbanding PN, apabila pada pelancaran jentera peringkat DUN Sungai Panjang baru-baru ini, mereka menyasarkan kehadiran seramai 2,000 orang.

Malah, ketika pelancaran Jentera Angkatan Muda (AMK) dan Wanita PKR peringkat negeri ini pada 9 Jun lalu di Permatang, Tanjong Karang, parti itu menerima kehadiran kira-kira 2,000 penyokong.

Pengundi muda

PH-BN dilihat melakukan usaha lebih untuk meraih sokongan pengundi muda apabila pimpinan utamanya seperti Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi masuk ke universiti di negeri ini dan mengumumkan bantuan serta suntikan dana kepada mahasiswa.

Situasi sama dilihat apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengunjungi universiti awam dan swasta di negeri ini. Universiti Selangor (Unisel) di Bestari Jaya menjadi yang pertama dikunjungi seterusnya ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi selepas beliau memegang jawatan itu.

Baru-baru ini beliau dilaporkan hadir di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Bachok dan memberitahu akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk membenarkan penganjuran konsert kecil terkawal di dalam kampus.

PENYOKONG Pas dan Bersatu berhimpun pada pelancaran jentera Pemuda PN di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini. – UTUSAN / AFIQ RAZALI

Selain faktor pengundi muda, PN dilihat mempunyai kelebihan dalam membawa permasalahan setempat. Kemenangan Pas di Kuala Langat menjadi petunjuk penting terhadap manifestasi pengundi yang memilih parti itu selepas berdepan dengan pelbagai masalah pembangunan berkaitan dengan alam sekitar.

Antara isu dihadapi adalah pembinaan kilang-kilang berdekatan kawasan perumahan dan sekolah yang turut mengakibatkan pencemaran seperti di Bandar Mahkota Banting, Kampung Jenjarom dan Sungai Manggis.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi yang memenangi kawasan tersebut pada PRU lalu dengan jumlah undi seramai 52,867, berkata, keadaan berkenaan memberikan gambaran seolah-olah kerajaan tidak prihatin dengan kebimbangan rakyat.

“Termasuk isu nyahwarta Hutan Simpan Kekal Kuala Langat (HSKLU) yang akhirnya apabila ada bantahan dan sebagainya kerajaan terpaksa menarik balik penyahwartaan tersebut. Itu bagi saya sebuah kerajaan tidak teratur akhirnya rakyat marah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Turut diketengahkan PN adalah isu yang membelenggu peneroka 1,719 hektar tanah pertanian di Jalan Raja Musa, Kuala Selangor apabila pengusaha di situ mendakwa mereka terganggu sejak Selangor bertukar kerajaan pada 2008.

Faktor-faktor sedemikian secara tidak langsung menyebabkan defisit kepada PH, malah Amirudin dalam ucapan-ucapannya sebelum ini dilihat tertekan apabila kerap kali mengulangi PH mampu menguasai dua pertiga DUN seperti pada PRU14.

Bagaimanapun PH masih mampu kekal sebagai kerajaan dengan jangkaan majoriti mudah disumbang oleh DAP pada kawasan-kawasan bandar seperti di Petaling Jaya, Damansara, Klang dan Sepang.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×