Persoal kredibiliti, Mas Ermieyati bidas Kit Siang

Persoal kredibiliti, Mas Ermieyati bidas Kit Siang

MAS ERMIEYATI SAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin membidas veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang yang menyifatkan beliau tidak layak menerajui jawatan kuasa itu selepas memboikot perbahasan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 Siri 2 di Dewan Rakyat, baru-baru ini. 

Ahli Parlimen Masjid Tanah itu berkata, ia jelas membuktikan kedangkalan bekas Ahli Parlimen berkenaan untuk memahami Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (PPMDR).

Katanya, Kit Siang sebagai orang lama dalam Parlimen seharusnya mengetahui kuasa yang diberikan Dewan Rakyat terhadap PAC terutama sekali dalam Peraturan Mesyuarat 77(1)(c) yang jelas menyebut bahawa PAC memeriksa penyata-penyata Pemeriksa Kira-kira Negara yang dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat menurut Perkara 107 dalam Perlembagaan.

“Kenyataan politik murahan melulu yang jelas tidak mengendahkan peruntukan kuasa yang diberikan kepada PAC membuktikan bahawa Kit Siang terus mahu menggunakan Parlimen sebagai alat politik.

“Selain itu, sebagai individu yang mempunyai latar belakang undang-undang, kenyataan Kit Siang yang menghentam saya sebagai Pengerusi PAC jelas menunjukkan betapa sifat pilih bulu dan bermuka-muka dengan tidak mengambil kira fakta dan peruntukan undang-undang sama ada yang terdapat dalam Peraturan Mesyuarat dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Menurut Mas Ermieyati, seperti yang ditegaskan dalam sidang media PAC sebelum ini, jawatan kuasa itu bersetuju sebulat suara untuk menyiasat isu-isu yang dibangkitkan Ahli Dewan Rakyat dalam perbahasan LKAN terutamanya mengenai pengurusan wabak Covid-19.

“Persoalan saya kepada Kit Siang, apa hasil yang diperoleh kerajaan dalam perbahasan berkenaan? Semuanya retorik politik dan segala isu yang dibangkitkan dalam LKAN kini dalam tindakan pihak berkuasa. 

“Sedangkan di PAC, semua isu dalam LKAN disiasat dengan teliti dan terperinci sebelum satu laporan PAC yang mengandungi rumusan dan syor dibentangkan kepada rakyat di Parlimen,” ujarnya. 

Justeru, katanya, daripada Kit Siang mempersoalkan kredibilitinya sebagai Pengerusi PAC, adalah lebih baik beliau bertanya kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat mengenai perbahasan Laporan PAC kerana inilah yang diperjuangkan selama ini oleh Ahli-ahli Parlimen daripada partinya. 

“Seharusnya keutamaan Ahli-ahli Dewan Rakyat adalah terhadap perbahasan Laporan PAC kerana ia adalah sebuah laporan yang dihasilkan sebuah Jawatankuasa Dewan Rakyat. 

“Malah, laporan ini telus serta lengkap dengan kenyataan daripada saksi-saksi terdiri daripada Pegawai Pengawal Kementerian iaitu Ketua Setiausaha yang mempunyai kuasa eksekutif dan bertanggungjawab penuh dalam urusan perolehan dan kewangan kementerian,” jelasnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya