KUALA LUMPUR : Persatuan Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA) tidak bersetuju dengan usul Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 atau lebih dikenali sebagai RUU Generasi Penamat (GEG) yang disifatkan sebagai satu langkah yang terlampau drastik jika dilaksanakan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presidennya, Rizani Zakaria berkata, sekiranya usul itu dilaksanakan, ia dikhuatiri berupaya mengharamkan produk rokok elektronik dalam jangka masa panjang serta menjejaskan golongan usahawan tempatan yang telah melabur dan mengembangkan industri ini.
“Industri menyambut baik langkah kerajaan untuk merujuk RUU tersebut kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan (JKPK). Namun RUU tersebut perlu disemak semula agar ia wajar mengambil kira kepentingan dan pandangan semua pihak terutamanya berkaitan dengan cadangan GEG yang teramat kontroversial.
“Kami juga melihat ia adalah suatu langkah yang terlampau drastik untuk diambil. Malah ia juga memberikan mesej yang salah kepada pelabur asing dalam industri ini. Sekiranya ia dilaksanakan, sudah pasti ia akan membuatkan pelabur beralih ke negara lain.
“Semua pihak perlu mencari penyelesaian yang seimbang dalam perkara ini dan industri memohon agar JKPK membuat sesi perbincangan dengan semua pihak dan mengkaji dengan menyeluruh cadangan GEG ini,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 akan dirujuk kepada JKPK buat kali kedua.
Selain itu, menurut Rizani, pihaknya juga berpendapat kerajaan wajar mengambil langkah untuk meminda peraturan sedia ada untuk memperkenalkan peraturan mengawal selia industri vape sambil menunggu kajian dan perbincangan yang teliti dibuat JKPK berkenaan RUU dan cadangan GEG ini.
“Dengan mengambil langkah meminda peraturan sedia ada seperti Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, langkah ini akan dapat memperkenalkan larangan penjualan dan penggunaan oleh individu yang di bawah umur dan terus membendung isu ini daripada berlarutan yang turut menjadi perhatian utama kami.
“Malah, ia juga akan dapat memperkenalkan peraturan untuk mengawal kandungan dalam produk vape seperti had nikotin, larangan kandungan yang berbahaya serta memastikan aktiviti pemasaran dan penjualan tidak ditujukan kepada individu bawah umur,” katanya. – UTUSAN










