Peniaga jual harga gula melebihi kawalan akan dikompaun

PARLIMEN: Peniaga jual harga gula melebihi kawalan akan dikompaun, senarai hitam dan gantung lesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peniaga yang didapati sengaja menjual harga gula melebihi harga kawalan, menyorok bekalan dan menetapkan pembelian gula secara bersyarat, bakal berdepan tindakan dikompaun, lesen digantung atau lesen disenarai hitam serta-merta.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ini berikutan tindakan mereka telah menjejaskan bekalan dalam negara dan pengguna terpaksa membayar lebih untuk mendapatkan bekalan.

SALAHUDDIN AYUB

Katanya, kerajaan tidak akan berkompromi lagi dan akan ambil tindakan tegas serta-merta, termasuk mereka yang didapati menjual gula putih bertapis kasar secara bersyarat, termasuk gula jernih.

“Kita ada terima aduan kononnya peniaga kata boleh beli dua pek gula subsidi dengan syarat beli satu kilogram gula premium tidak bersubsidi.

“Itu pun satu kesalahan yang dilanggar dalam syarat lesen dikeluarkan itu,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Parlimen hari ini.

Salahuddin berkata, sebanyak tujuh kes membabitkan penjualan bekalan guna melebihi harga kawalan diterima setakat ini dan beliau meminta pengguna supaya terus berkongsi maklumat jika mendapati ada peniaga dan premis perniagaan melanggar syarat jualan.

“Kita tidak mahu isu ini berlanjutan. Kita sudah ada libat urus dengan MSM Malaysia Holdings Berhad dan Central Sugars Refinery Sdn. Bhd. (CSR), jumlah yang ditetapkan untuk keperluan negara mencukupi dan atas faktor itu tidak mungkin berlaku ketidakcukupan gula di pasaran.

“Kalau berlaku lagi, mereka berdepan tindakan tegas. Kita akan kompaun dan gantung lesen daripada meneruskan perniagaan pada masa akan datang,” katanya.

Salahuddin berkata, setakat kelmarin, sebanyak 2,576 premis perniagaan diperiksa oleh anggota penguat kuasa KPDN dan sejumlah 60 aduan merangkumi isu gula diterima.

“Secara keseluruhannya, bekalan gula di pasaran tidak kritikal, masih mencukupi dan stabil serta berupaya menampung permintaan semasa.

“Bagaimanapun, pihak KPDN dengan kerjasama syarikat pengeluar gula tempatan secara berterusan mengambil tindakan dan inisiatif dalam membantu mempercepatkan pengedaran bekalan dari peringkat kilang kepada pemborong dan rantaian sehingga ke peringkat pengguna akhir,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN