Pengurangan saiz RMR penyelesaian adil kepada pembeli, kontraktor

Pengurangan saiz RMR penyelesaian adil kepada pembeli, kontraktor

HUSAM Musa (tengah) menyampaikan kunci kepada pembeli rumah RMR ketika mengadakan lawatan ke Kedah dan Perlis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Keputusan Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB) untuk mengurangkan saiz Rumah Mesra Rakyat (RMR) daripada 1,000 kaki persegi kepada 750 kaki persegi adalah penyelesaian yang adil untuk kedua-dua pembeli dan kontraktor.

Pengerusinya, Datuk Husam Musa berkata, langkah itu dilaksanakan sejak 2021 bagi membolehkan SPNB mengimbangi tugasnya menyediakan skim rumah mampu milik untuk golongan berpendapatan rendah dan pihak kontraktor masih memperoleh margin keuntungan walaupun sedikit.

Beliau berkata, keputusan berkenaan dibuat susulan kenaikan mendadak harga bahan binaan seperti simen dan keluli sejak dua tahun lalu.

“Walaupun saiz rumah agak kecil tetapi ia masih selesa untuk ahli keluarga yang berbilangan kecil hingga sederhana dengan tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu dan dapur.

“Pada harga RM75,000 kontraktor dapat menjalankan kerja-kerja pembinaan bagi skim RMR kerana mereka mendapat sedikit margin keuntungan berikutan pengurangan saiz rumah,” katanya selepas lawatan kerja ke Perlis dan Kedah.

Dalam pada itu, Husam yang dilantik ke jawatan itu pada Mac lalu juga telah menyampaikan kunci kepada pembeli rumah RMR di Perlis, selain meninjau projek SPNB dan kawasan pertumbuhan ekonomi baharu di kedua-dua negeri.

SPNB menawarkan skim perumahan RMR untuk golongan berpendapatan rendah pada harga RM75,000 di Semenanjung bagi mereka yang memiliki tanah, manakala harga di Sabah dan Sarawak agak tinggi. Pada April lalu, kerajaan pusat telah menyemak semula kelayakan pemohon skim RMR daripada pendapatan isi rumah bulanan RM3,000 kepada RM5,000. 

Tambah Husam, berdasarkan lawatannya terhadap pembeli RMR di Kelantan, Negeri Sembilan dan Perlis, saiz rumah bukanlah isu utama bagi pemohon kerana kebanyakan mereka adalah keluarga muda.

“Tambahan pula, kebanyakan mereka memiliki sebidang tanah kecil yang sesuai dengan saiz rumah seluas 750 kaki persegi,” katanya.

Katanya, SPNB juga terbuka untuk mempertimbang permohonan daripada mereka yang ingin membina rumah lebih besar seluas 1,000 kaki persegi di bawah skim itu dengan syarat mereka bersetuju membayar kos tambahan kepada kontraktor. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya