KUALA TERENGGANU: Penggunaan stesen pengecas kenderaan elektrik di negeri ini didapati melonjak apabila tiba musim cuti sekolah dan musim perayaan.
Pada masa ini, tiga lokasi di negeri ini yang menyediakan perkhidmatan tersebut ialah Hotel Primula Beach dan Hotel Tanjung Vista, di sini dan Resort World Kijal, Kemaman.
Pengurus Besar Hotel Primula Beach, Suaibah Harun berkata, pengunjung hotel itu lzimnya menggunakan kemudahan tersebut mengikut giliran apabila jumlah kenderaan elektrik meningkat seperti musim perayaan baru-baru ini.
Katanya, sejak kemudahan stesen pengecas kenderaan elektrik itu disediakan di Hotel Primula Beach pada 2021, ia memang menjadi faktor tarikan pelancong untuk menginap di hotel tersebut.
“Kebanyakan pemilik kenderaan elektrik adalah pengunjung hotel yang datang dari luar seperti negeri-negeri di Pantai Barat.
“Bagaimanapun, setakat ini penggunaannya masih mampu menampung keperluan pengunjung di hotel kami,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, seorang pemilik rangkaian inap desa yang ingin dikenali sebagai Eddy, 37, berkata, dia menambah perkhidmatan stesen pengecas kenderaan elektrik di dalam senarai kemudahan yang ada disediakan di rumah inap desa miliknya untuk tarikan pelancong.
“Contohnya di Hotel Primula Beach, kemudahan itu juga boleh digunakan secara percuma kepada orang awam, jadi saya senaraikan ia sebagai antara kemudahan yang ada di Kuala Terengganu.
“Secara tidak langsung dapat menarik kedatangan pemilik kenderaan elektrik untuk bercuti ke Terengganu dan menjana ekonomi penduduk tempatan,” katanya. – UTUSAN










