Penemuan kubur Wang Kelian: Empat warga Thailand didakwa - Utusan Malaysia

Penemuan kubur Wang Kelian: Empat warga Thailand didakwa

EMPAT individu warga Thailand dibawa ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan kes penemuan penempatan sementara dan kubur di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, pada 2015 di Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis hari ini.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Empat individu warga Thailand didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini berhubung kes penemuan kem dan kubur di Wang Kelian pada Mei 2015.

Keempat-empat tertuduh iaitu Jehpa Lapi-E, 56, Arun Kaeofainok, 29, Somphon A-Dam, 51, dan Amree Nasalaeh, 58, bagaimanapun tidak merekodkan sebarang pengakuan selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Musyiri Peet.

Mengikut pertuduhan, tiga daripada tertuduh, Jehpa, Arun dan Somphon didakwa menjalankan penyeludupan migran warganegara Myanmar, Mohd Belal antara bulan Ogos 2014 sehingga Mac 2015.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Padang Besar.

Terdahulu, seorang lagi tertuduh, Amree turut didakwa menjalankan kegiatan penyeludupan migran membabitkan seorang warga Myanmar, Zedul Islam antara Februari 2013 sehingga April 2013.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Padang Besar.

Keempat-empat tertuduh didakwa mengikut Seksyen Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda, atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asyraf Md Kamal, Lee Jung Keong dan Suloshani manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam pada itu, mahkamah menetapkan 25 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semalam dilaporkan berkata, keempat-empat tertuduh itu merupakan antara sepuluh individu hasil permintaan kerajaan Malaysia ketika mengemukakan ekstradisi kepada kerajaan Thailand pada 6 Januari 2017.

Katanya, kes ekstradisi itu telah berjalan di pelbagai peringkat mahkamah di Thailand dan Mahkamah Rayuan Thailand pada 30 Mac lalu yang akhirnya mengeluarkan perintah penahanan ke atas keempat-empat individu tersebut untuk diserahkan kepada Malaysia.

Pada 2015, media melaporkan mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur besar menempatkan 139 mayat di Bukit Wang Burma di Wang Kelian yang merupakan isu pemerdagangan manusia terbesar dalam sejarah negara.

Malah, lebih 100 rangka manusia juga ditemukan di kawasan kubur berkenaan dipercayai daripada etnik Rohingya.

Penemuan mengejutkan itu menimbulkan persoalan apa sebenarnya yang berlaku di puncak bukit tersebut pada masa itu.

Rentetan itu, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan berhubung kes berkenaan dan sesi pendengaran dibentangkan Pengerusinya, Tun Arifin Zakaria bermula 17 April 2019 selepas mendengar keterangan daripada 48 saksi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya