Pemuda UMNO gesa kerajaan ambil tindakan perundangan terhadap Jocelyn Chia

Pemuda UMNO gesa kerajaan ambil tindakan perundangan terhadap Jocelyn Chia

DR. MUHAMAD Akmal Saleh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda UMNO menggesa kerajaan mengambil tindakan perundangan terhadap pelawak berasal dari Singapura, Jocelyn Chia ekoran kebiadabannya mencemuh dan mencaci Malaysia, baru-baru ini. 

Ketuanya, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan keras untuk mengharamkan Jocelyn Chia masuk ke negara ini selain mengambil tindakan perundangan ke atas wanita tersebut.

Beliau berkata, kerajaan digesa mengambil pendekatan tiada berkompromi terhadap perbuatan biadab wanita itu yang mengguris hati rakyat Malaysia.

“Jelas dan nyata, perbuatannya itu langsung tidak mencerminkan sikap sensitiviti terhadap rakyat Malaysia. Malah lawak keterlaluan membabitkan kehilangan pesawat MH370 ternyata melukakan hati waris mangsa.

“Untuk itu, tindakan keras termasuk mengharamkan Jocelyn Chia masuk ke Malaysia adalah satu tindakan tepat, selain kerajaan perlu mengambil tindakan perundangan ke atasnya,” katanya dalam sidang akhbar semasa perhimpunan dan perarakan aman Pemuda UMNO di kedutaan Amerika Syarikat (AS), di sini hari ini.

Perhimpunan bermula pada 2.10 petang itu turut dihadiri Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Datuk Nicole Wong dan Setiausahanya, Daniel Wa.

Dalam perhimpunan aman tersebut, dua wakil Pemuda UMNO dibenarkan untuk bertemu wakil kedutaan AS bagi menyerahkan memorandum bantahan.

Hampir 100 ahli Pemuda UMNO bersama rakan komponen Barisan Nasional (BN) hadir menyatakan sokongan.

Muhamad Akmal berkata, isu melibatkan Jocelyn Chia itu mendapat reaksi daripada seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Kata beliau, ia terbukti dengan kehadiran rakan komponen BN dalam perhimpunan tersebut bagi menyatakan rasa kesal terhadap lawak keterlaluan Jocelyn Chia mencerca negara dan rakyat Malaysia.

Justeru, kerajaan perlu mengambil serius perkara itu demi hubungan baik Malaysia dan Singapura, meskipun Jocelyn Chia bukan lagi rakyat republik tersebut.

“Perkara ini tidak boleh dipandang ringan dan tindakan tegas perlu segera diambil supaya kita tidak dilihat lemah apabila maruah negara dipermainkan. Malah Pemuda UMNO sama sekali tidak akan berlembut di dalam perkara yang menyentuh kedaulatan Malaysia tercinta,” ujarnya.

Terdahulu, seorang pelawak wanita dipercayai kelahiran Singapura bertindak keterlaluan memperlekeh Malaysia dalam satu persembahan komedi berdiri Singapore vs Malaysia yang dipercayai diadakan di Manhattan, New York, baru-baru ini.

Menerusi klip video dimuat naik menerusi akaun TikTok, Chia turut membandingkan Malaysia yang hanya bertaraf negara membangun, berbanding negaranya lebih maju selepas lebih 40 tahun berpisah dari Tanah Melayu.

Sepanjang rakaman video berdurasi satu minit 29 saat itu, pengisian bahan lawak dipersembahkan Chia berbaur kata-kata menghina dan memek muka memperlekeh Malaysia.

Ini termasuk jenaka keterlaluan yang menyentuh mengenai kehilangan pesawat Malaysia, MH370 yang dikatakan ‘tidak mendarat’.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.