Pemilik rumah mampu milik di KL nikmati pengurangan cukai 25 peratus - Utusan Malaysia

Pemilik rumah mampu milik di KL nikmati pengurangan cukai 25 peratus

ANWAR Ibrahim bermesra dengan orang ramai pada Sesi Temu Mesra bersama Pemilik Rumah Mampu Milik Kuala Lumpur di Tamab Tasik Metropolitan, Kepong. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 25,677 pemilik rumah mampu milik di ibu negara akan menikmati pengurangan cukai sebanyak 25 peratus bermula penggal kedua iaitu Julai sehingga Disember tahun ini.

Mengumumkan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cukai taksiran yang dikenakan ke atas rumah kediaman di Kuala Lumpur agak membebankan warga kota terutamanya pemilik kediaman rumah mampu milik.

Jelasnya, sejajar dengan aspirasi Malaysia Madani dan elemen ihsan yang menekankan kepada aspek peduli, kerajaan mengambil keputusan untuk memberikan pengurangan cukai taksiran tersebut.

Menurut beliau, pengurangan tersebut diberikan sehingga penilaian semula dilaksanakan.

“Inisiatif ini adalah bagi kategori rumah kediaman mampu milik yang telah siap selepas 2014 sehingga kini.

“Pengurangan cukai taksiran ini memberikan manfaat kepada 25,677 pemilik rumah mampu milik di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang melibatkan pengurangan hasil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebanyak RM2.067 juta. 

“Kategori pemilik rumah mampu milik yang layak bagi inisiatif ini adalah RUMAWIP, PRIMA, PPAM dan Residensi Wilayah di Kuala Lumpur,” katanya dalam ucapan pada Sesi Temu Mesra bersama Pemilik Rumah Mampu Milik Kuala Lumpur.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Saleh.

Pada majlis sama Anwar turut merasmikan Tempat Letak Kereta Taman Tasik Metropolitan Kepong.

Menurut Perdana Menteri, pengurangan cukai taksiran kediaman rumah mampu milik itu dapat mengurangkan beban kos sara hidup golongan B40 dan M40 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Dengan pengurangan ini, diharap pemilik kediaman dapat menjelaskan cukai taksiran bagi membolehkan DBKL memberikan perkhidmatan perbandaran yang terbaik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN