KUANTAN: Seorang pemandu lori tangki minyak beberapa kali meminta maaf kepada ahli keluarga dua beradik yang maut setelah kereta Proton Wira dinaiki mereka dilanggar kenderaan berat itu dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Segamat, berhampiran lampu isyarat Felda Lepar Hilir, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, kecuaian pemandu lori apabila gagal mengawal kenderaan dipandu dipercayai punca Siti Mazurah Zulkifli, 30, seorang pramusaji dan Siti Nur Alia Saffiyah, 18, bekerja sebagai jurujual meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Adik-beradik kepada dua mangsa kemalangan maut itu, Siti Nursyazana, 23, berkata, ketika di lokasi kejadian, pemandu lori tangki minyak berusia 31 tahun terbabit datang bertemunya dan meminta maaf ketika dia sedang mengisi borang diminta polis.
“Ketika sedang isi borang, saya didatangi seorang lelaki. Saya sangka dia hendak isi borang juga. Saya tanya dia kenapa? Dia kata ‘saya minta maaf kak’. Bila saya tanya diakah pemandu lori itu. Sekali lagi lelaki itu meminta maaf kepada saya.
“Nak kata berdendam itu tidak, cuma proses untuk memaafkan itu bukan sekarang. Saya fikir dia pun muda lagi dan ada anak isteri. Lagipun dia tidak lari dan memberi kerjasama dengan pihak polis,” katanya di sini semalam.
Sementara itu, ibu mangsa, Noor Zaimah Yunus@Hasbullah, 53, pula berkata, kedua-dua anaknya itu tidak menunjukkan tanda-tanda pelik, hanya Siti Mazurah pada bulan ini banyak mengeluarkan duit belanja ahli keluarga dan rakan sekerja.
“Kalau ikutkan semalam dia berjumpa suaminya selepas pulang dari kerja luar dan dia memang teruja hendak berjumpa suaminya. Tidak sangka tak sempat jumpa, dia sudah dijemput Ilahi.
“Siti Nur Alia Saffiyah (anak bongsu) pula sempat menyatakan hasrat untuk menyambung pengajian dalam bidang kejururawatan,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku disebabkan kecuaian pemandu lori yang gagal mengawal kenderaan dipandu sehingga mengakibatkan kemalangan berlaku.
“Pemandu lori terbabit sudah ditahan bagi membantu siasatan. Keputusan ujian air kencing terhadap lelaki itu negatif dadah. Keterangan pemandu lori berkenaan sudah diambil dan lori dipandu akan di bawa ke Puspakom untuk pemeriksaan,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN









