GERIK: Pelajar tahfiz yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Gerik di sini sejak Rabu lalu, ditemukan selepas lebih 70 jam dalam keadaan lemah.
Muhammad Naufal Adzimi Mohd. Harris, 17, dijumpai pada pukul 10.48 pagi semalam oleh Unit Anjing Pengesan (K9) bomba dan Pasukan Gerakan Am (PGA).
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa ditemukan kira-kira dua kilometer dari lokasi motosikalnya dijumpai dan dipercayai bergantung kepada air paya.
Katanya, pihaknya tak pasti sama pelajar itu makan atau minum sepanjang dia hilang.
“Bagaimanapun ketika ditemukan dia berada dekat dengan paya dan kawasan sekitar berair.
Katanya, faktor kemungkinan mangsa bergerak ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan menyebabkan dia tidak dijumpai sebelum ini.
“Pasukan SAR pada pagi semalam dipecahkan kepada lapan kumpulan dan operasi pencarian dimulakan dengan membuat laungan azan.
“Seramai 94 anggota pelbagai agensi antaranya bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), PGA, Sapura dan orang awam menyertai SAR,” ujarnya. – UTUSAN










