Pelajar maut dilanggar kereta terbabas tayar pecah - Utusan Malaysia

Pelajar maut dilanggar kereta terbabas tayar pecah

KEADAAN motosikal ditunggangi Muhammad Daniel Iqram Apizul setelah terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer 38, Jalan Kampung Bukit Nenas-Kampung Tayor, Setiu, Terengganu, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun maut setelah motosikal ditunggang dilanggar sebuah kereta di Kilometer 38, Jalan Kampung Bukit Nenas-Kampung Tayor, dekat sini, petang semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Afandi Husin, dalam kejadian pada pukul 5.50 petang, mangsa, Muhammad Daniel Iqram Apizul yang juga pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah menengah di sini maut di tempat kejadian.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika sebuah kereta jenis Proton Wira yang dinaiki dua lelaki dari arah Kuala Berang dalam perjalanan ke Kampung Pak Kancil.

“Setibanya di lokasi, siasatan awal mendapati salah sebiji tayar kereta berkenaan tiba-tiba pecah menyebabkan pemandu hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan.

“Proton Wira itu kemudian merempuh dua buah motosikal iaitu Yamaha Legenda 110Z yang ditunggang Muhammad Daniel Iqram dan Honda C100 ditunggang rakannya.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah manakala rakan yang turut berumur 14 tahun cedera ringan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Afandi memberitahu, kesan pelanggaran itu juga menyebabkan penumpang kereta berusia 33 tahun patah peha dan tangan kiri sementara pemandu yang berusia 24 tahun cedera di bahagian dahi.

Beliau berkata, kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Setiu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya